KOTA KINABALU - Proses pemakluman kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum dibuat kerana tumpuan ketika ini diberikan kepada Sidang Bajet 2026 serta upacara angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu.
Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya berkata, tiada keperluan untuk tergesa-gesa mengenai pemakluman tersebut memandangkan pihaknya sedang menyelesaikan urusan berkaitan perjalanan Dewan selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) berlangsung baru-baru ini.
"Tidak perlu tergesa-gesa, saya sedang sibuk dengan sidang bajet dan upacara angkat sumpah ADUN," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Beliau dijangka akan memaklumkan perkara itu kepada SPR selepas semua urusan berkaitan selesai bagi memastikan kelancaran pentadbiran Dewan tidak terjejas.
"Insya-ALLAH," katanya ringkas ketika ditanya sama ada pemakluman itu dijangka dibuat selepas kedua-dua urusan tersebut selesai.
Kekosongan kerusi DUN Lamag berlaku susulan penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar meninggal dunia pada Jumaat lalu, kira-kira enam hari selepas kemenangan beliau di kerusi tersebut dalam PRN berkenaan.
Setakat ini, belum ada tarikh rasmi mengenai bila notis kekosongan akan dihantar kepada SPR.
Sementara itu, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, dilaporkan berkata, urusan mengangkat sumpah ialah formaliti pentadbiran DUN.
Sebelum itu, terdapat dakwaan bahawa Speaker DUN Sabah tiada kuasa untuk mengisytihar DUN Lamag kosong kerana Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin belum sempat mengangkat sumpah.
Namun Ramlan berkata, alasan Speaker tiada kuasa adalah tidak tepat dan memaklumkan bahawa majlis angkat sumpah ADUN hanya satu acara rasmi selepas berakhirnya pilihan raya.