TEL AVIV – Kementerian Pertahanan Israel mendedahkan lebih separuh daripada 22,000 anggota tenteranya yang dirawat sejak pertembungan serangan pada 7 Oktober 2023 dengan Palestin, mengalami masalah kesihatan mental, termasuk gangguan stres pascatrauma (PTSD).
Menurut Jabatan Pemulihan kementerian itu, dapatan terbaharu daripada pihaknya mendapati sebanyak 58 peratus daripada anggota yang menerima rawatan menunjukkan simptom PTSD atau gangguan mental lain, manakala 63 peratus daripada jumlah tersebut terdiri daripada anggota simpanan.
Iklan
Iklan
Pegawai kementerian menekankan bahawa tekanan perang dan tempoh konflik yang berpanjangan memberi kesan serius kepada kesejahteraan mental anggota tentera.
Setakat ini, jabatan berkenaan mengendalikan 82,400 veteran daripada konflik terdahulu. Menjelang akhir 2026, dijangka bertambah 10,000 veteran cedera, kebanyakannya memerlukan rawatan berkaitan trauma dan sokongan psikologi berterusan.
Belanjawan tahunan Jabatan Pemulihan berjumlah 8.3 bilion shekel Israel (NIS), bersamaan kira-kira RM10.5 bilion. Daripada jumlah itu, 4.1 bilion shekel (sekitar RM5.2 bilion) diperuntukkan khusus untuk rawatan kesihatan mental, termasuk terapi psikologi, program pemulihan PTSD, dan sokongan untuk anggota simpanan serta veteran.
Pegawai kementerian menegaskan bahawa usaha berterusan ini adalah kritikal untuk memastikan tentera yang cedera dapat kembali berfungsi dalam kehidupan harian dan menyokong keselamatan negara. - Agensi
Artikel Berkaitan