GOMBAK - Luka pada beberapa bahagian badan serta melecur lengan tangan antara kesan kecederaan dialami wanita yang dipercayai menjadi mangsa dera majikannya baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mangsa yang merupakan warga tempatan itu dipercayai bekerja sebagai pembantu rumah sejak September lalu.
"Mangsa telah diselamatkan dan kini dalam keadaan stabil serta ditempatkan di rumah perlindungan.
"Polis masih menyiasat bagaimana mangsa didera serta tempoh mangsa didera oleh majikannya itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, dua suspek yang dipercayai dalam kejadian itu telah ditahan serta direman bermula hari ini (Isnin) sehingga 11 November ini.
"Dua suspek ditahan sebelum ini melibatkan seorang wanita berumur 57 tahun dan anak lelakinya berumur 30 tahun," katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang pembantu rumah bertindak melarikan diri dari kediaman majikannya sebelum mendapatkan bantuan daripada jiran berdekatan untuk menerima rawatan perubatan.
Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis berhubung kejadian penderaan dipercayai dilakukan oleh majikannya yang juga merupakan warga tempatan.