Bekas Ketua Juruterbang MAS sedia jelaskan semula latar belakang insiden MH370

Iklan
Nik Ahmad Huzlan (gambar kecil) menyatakan kesediaan untuk menjelaskan semula latar belakang insiden kehilangan pesawat MH370 bagi membantu masyarakat memahami situasi sebenar tragedi itu.

SHAH ALAM – Seorang pakar penerbangan berpengalaman luas menyatakan kesediaan untuk menjelaskan semula latar belakang insiden kehilangan pesawat MH370 bagi membantu masyarakat memahami situasi sebenar tragedi yang berlaku lebih sedekad lalu.

Bekas Ketua Juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, langkah itu penting memandangkan terlalu banyak laporan dan maklumat bercelaru sejak kejadian kehilangan pesawat berkenaan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, penjelasan menyeluruh mengenai latar belakang insiden itu akan membolehkan orang ramai melihat gambaran lebih tepat berdasarkan fakta serta perkembangan yang pernah didedahkan pihak berkuasa.

“Saya nak ceritakan dari latar belakang supaya mudah faham. Sebab terlalu banyak berita yang bercelaru yang berlegar sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Beliau memaklumkan perincian laporan akan dikongsi kepada rakyat Malaysia apabila ia siap sepenuhnya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan bahawa syarikat Ocean Infinity akan memulakan operasi pencarian dasar laut secara berperingkat bermula penghujung Disember ini.

Iklan

Operasi itu memberi tumpuan kepada kawasan yang dikenal pasti mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk mengesan bangkai atau serpihan pesawat, selaras perjanjian pencarian yang dimeterai pada 25 Mac lalu.

Menurut MOT, perkembangan terbaharu itu menzahirkan komitmen kerajaan untuk memberikan kepastian kepada keluarga penumpang yang masih menunggu jawapan selepas lebih 10 tahun tragedi itu berlaku.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Radar tentera kemudiannya mengesan pesawat berkenaan melakukan pusingan 180 darjah merentasi Semenanjung Malaysia ke Selat Melaka sebelum bergerak ke utara, dan berdasarkan analisis satelit, dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.

Walaupun operasi pencarian besar-besaran membabitkan Malaysia, Australia dan China pernah dilaksanakan, bangkai pesawat tidak ditemui dalam zon pencarian utama.

Beberapa serpihan yang disahkan atau dipercayai milik MH370 turut ditemukan di pantai-pantai sekitar barat Lautan Hindi termasuk Mozambique, Madagascar dan Pulau Reunion.