BANTING – Helah seorang lelaki warga India yang mendakwa sekadar membawa rakan bersiar-siar terbongkar apabila ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dalam operasi khas di Kilometer 9, Jalan Klang–Banting, Jumaat lalu.
Individu berusia 23 tahun itu bagaimanapun kemudiannya mengaku bekerja sebagai pemandu pelancong ketika semakan awal dijalankan oleh anggota bertugas.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata siasatan mendapati individu terbabit menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM).
"Pemeriksaan awal dijalankan mendapati lelaki itu dipercayai sedang membawa pelancong.
"Semakan mendapati kenderaan yang dipandu lelaki terbabit didaftarkan atas nama seorang lelaki tempatan serta digunakan bagi tujuan komersial secara tidak sah dengan menyalahgunakan LKM," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, lelaki terbabit juga mengaku baru seminggu menjalankan kegiatan itu.
"Siasatan turut mendapati lelaki terbabit mendakwa menerima bayaran RM80 bagi setiap trip perjalanan pergi dan balik.
"Tindakan dilakukan lelaki berkenaan merupakan kesalahan serius kerana melanggar syarat penggunaan LKM dan menjejaskan mata pencarian pemandu warganegara Malaysia yang memiliki permit sah," katanya.
Menurutnya, JPJ memandang berat isu ini kerana ia melibatkan penyalahgunaan dokumen kenderaan untuk tujuan komersial tanpa kelulusan.
"Lelaki terbabit kemudiannya ditahan serta kenderaan dipandunya disita untuk tindakan selanjutnya.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan LKM atau menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam secara tidak sah," katanya.