Di tengah-tengah ledakan dunia digital hari ini, isu keselamatan dalam talian semakin jelas menjadi ‘gajah dalam bilik’ atau masalah besar yang tidak lagi boleh dipandang sepi.
Hampir setiap minggu, muncul laporan baharu mengenai penipuan, serangan seksual, eksploitasi dan pelbagai jenayah yang dipercayai berpunca daripada platform digital, sekali gus menambahkan kegusaran masyarakat terutama dalam kalangan ibu bapa.
Kebimbangan tersebut telah mendorong kerajaan meneliti cadangan untuk menghadkan akses media sosial kepada pengguna bawah 16 tahun, namun langkah tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat.
Persoalannya, sejauh mana larangan menyeluruh itu benar-benar mampu menjamin keselamatan atau adakah ia sebenarnya membuka pintu kepada risiko baharu?
Berkongsi pandangan mengenai itu, Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi (CMCF), Mediha Mahmood berpendapat, antara penyelesaian paling penting dalam isu keselamatan digital adalah mengukuhkan kawal selia kendiri dalam kalangan pengguna, yang mana setiap individu bertanggungjawab terhadap kandungan yang mereka kongsi.
"Asas keselamatan dan kredibiliti digital terletak pada tanggungjawab peribadi. Sebagai pengguna, kita perlu bertanggungjawab atas setiap perkongsian," katanya.
Pada masa sama, beliau menekankan yang setiap ibu bapa bertanggungjawab memantau penggunaannya dalam kalangan anak-anak serta perlu memahami risiko yang mungkin dihadapi apabila mereka telah memasuki ruang media sosial.
"Anak-anak ini tak mampu pun beli telefon dan melanggan internet, kita sebagai ibu bapalah yang beri akses kepada mereka.
"Jadi ibu bapa harus tahu apa risiko kepada anak-anak apabila masuk dalam media sosial dan bukan semua kandungan boleh memberi kesan buruk," ujarnya pada sesi forum program 'Surf’s Up: Deputies of Digital Literacy’ yang bertemakan ‘Online With a Purpose' yang diadakan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 1 November lalu.
Siri keempat jelajah universiti Surf's Up yang diadakan semasa Pesta Konvo UTeM itu sebagai salah satu usaha TikTok Malaysia memperluaskan program kesedaran keselamatan digitalnya ke luar Lembah Klang dengan memberi penekanan kepentingan menjadi warga siber yang bertanggungjawab.
Ini kerana, setiap perkongsian pada hari ini mampu mempengaruhi reputasi profesional dan peluang kerjaya pada masa depan.
Selain Mediha, tiga lagi panel dalam bidang berbeza turut diundang untuk berkongsi pandangan mereka dalam sesi forum yang dikendalikan personaliti media sosial dan pencipta kandungan digital, Hazeman Huzir.
Perbincangan turut menekankan kepentingan usaha kolaboratif antara platform, pengawal selia dan pengguna untuk memupuk persekitaran digital yang selamat dan dipercayai.
Pengurus Dasar Awam TikTok Malaysia, Alif Zakaria menegaskan komitmen jangka panjang pihaknya terhadap pendidikan keselamatan yang proaktif menerusi kempen seperti #ThinkTwice(#FikirDulu).
“Keselamatan dalam talian merupakan tanggungjawab bersama antara komuniti, pengawal selia dan platform. Jadi, pengguna terutamanya para graduan digalakkan untuk #FikirDulu, berhenti sejenak dan persoalkan kesahihan, keperluan serta kebaikan kandungan sebelum berkongsi.
“Kami ingin memastikan komuniti kami berasa selamat untuk mengekspresikan diri di platform kami, terlindung oleh garis panduan komuniti dan digalakkan untuk mengamalkan tingkah laku positif dengan menggunakan alat keselamatan kami seperti Family Pairing, Manage Topics, Creator Care Mode dan banyak lagi," katanya.
Beliau turut memaklumkan yang TikTok mengambil tanggungjawab memastikan setiap kandungan yang dipaparkan mematuhi peraturan ditetapkan dengan bertindak menurunkan serta merta kandungan yang didapati melanggar garis panduan ditetapkan, termasuk melanggar norma manusia dan akta di negara ini.
Tambahnya, orang ramai juga boleh membuat aduan kepada platform tersebut atau pihak berautoriti supaya tindakan dapat diambil.
"Kalau tengok di TikTok ini, banyak kandungan bersifat hiburan tapi ada yang disampaikan dalam bentuk pendidikan.
Meskipun platform digital hari ini dilihat oleh sesetengah pihak yang ia lebih banyak mengundang perkara negatif, namun Pengasas dan Pencipta Kandungan Aiszzy Electronics, Aqilah Zainuddin pula melihatnya dari sudut positif, sebagai contoh bagaimana pengetahuan teknikal dimilikinya boleh dijadikan pendidikan digital untuk memberi inspirasi kepada orang lain.
Beliau berkongsi pelbagai pengalamannya membangunkan prototaip projeknya hingga telah membuka peluang untuk bekerjasama dengan industri lain.
“Saya sebenarnya tidak berani tampil di media sosial kerana personaliti saya yang agak pendiam.
"Namun, saya sedar kemahiran kejuruteraan saya boleh memberi manfaat kepada orang lain, terutamanya mereka yang ingin tahu tentang teknologi dan sejak itu saya berkongsinya di media sosial," katanya.
Bagaimanapun beliau akan menapis terlebih dahulu setiap kandungan yang mahu dikongsi dan sekiranya mendapati maklumat diberikan tidak betul, dia tidak kisah untuk membuat permohonan maaf.
Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar) Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber UTeM, Dr Muhammad Noorazlan Shah berkongsi perspektif akademik dengan mengaitkan tingkah laku dalam talian secara langsung kepada prospek pekerjaan.
"Literasi digital harus dianggap sebagai kemahiran hidup, bukan sekadar topik bilik darjah. Kami tekankan kepada para pelajar bahawa kehadiran digital datang dengan tanggungjawab.
"Majikan hari ini sering menyemak profil media sosial sebagai sebahagian daripada proses pengambilan pekerja dan setiap hantaran akan meninggalkan jejak digital kekal,” katanya.
Perbincangan di UTeM itu memperlihatkan satu hakikat bahawa keselamatan digital memerlukan usaha bersama semua pihak dan tidak boleh disandarkan tanggungjawab itu kepada kerajaan atau pemilik platform semata-mata.
Malah, bukan semua di media sosial itu memberi kesan negatif sebaliknya jika digunakan secara berhemah dan bijak boleh memberi kesan yang positif bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga orang ramai.
Sesi di UTeM terbabit diakhiri dengan komitmen lebih 300 graduan dan juga mahasiswa untuk menjadi warga digital yang bertanggungjawab apabila mereka mengikrarkan janji kempen keselamatan #ThinkTwice TikTok.
Penyertaan ini mencerminkan kesungguhan pemimpin masa depan untuk mengamalkan kawal selia kendiri dan perkongsian yang berhemat.
Sebelum ini, siri jelajah kampus ini telah diadakan di Universiti Teknologi MARA, University of Nottingham Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Secara keseluruhannya, kempen ini berjaya mengumpul lebih 1,000 ikrar.