KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu melanjutkan tempoh remedi kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selama sebulan sehingga 7 Januari 2026 susulan perkembangan positif hasil siri rundingan berkaitan isu tanah ladang komersial yang diusahakan agensi itu di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zulkifli Ali berkata, keputusan itu dipersetujui selepas beberapa sesi perbincangan bersama pengurusan tertinggi Felda menunjukkan kemajuan yang diyakini mampu membawa kepada penyelesaian muktamad.
Menurutnya, keputusan tersebut turut mengambil kira komitmen kedua-dua pihak untuk memuktamadkan terma serta syarat perjanjian yang sedang dirangka.
"Selaras dengan perkembangan rundingan yang baik, kerajaan negeri bersetuju tidak meneruskan tindakan susulan terhadap notis yang dikeluarkan sebelum ini kepada semua Lembaga Pengarah FGV.
"Kerajaan negeri juga memberi kelonggaran kepada FGV untuk meneruskan operasi semua ladang mereka di Terengganu berkuat kuasa serta-merta," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Jelas beliau, notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) akan ditarik balik sebaik sahaja perjanjian muktamad ditandatangani antara kerajaan negeri dan Felda.
"Kerajaan negeri berharap penyelesaian ini akan membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak serta memastikan kelestarian pengurusan tanah di Terengganu," katanya.
Sebelum ini, kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di negeri itu bermula 29 November lalu iaitu pada tarikh akhir tempoh rundingan yang diberikan kepada agensi itu.
Penyerahan notis dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, tindakan itu diambil selepas Felda gagal memberi maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30 peratus tanah milik kerajaan negeri diterokai sejak 40 tahun lalu.
Azman turut memaklumkan mesyuarat di Putrajaya itu membabitkan Jawatankuasa Task Force Tanah Felda Kerajaan Negeri Terengganu dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.