Pemuda maut dilanggar kereta ketika melintas jalan

Iklan
Seorang lelaki maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di Kilometer (km) 16 (Jalan Johor Bahru-Air Hitam, pada Ahad. Foto hiasan (Gambar kecil: Azrol Anuar)

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di Kilometer (km) 16 (Jalan Johor Bahru-Air Hitam di sini, pada Ahad.

Menurut pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.45 malam.

Iklan
Iklan

"Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang berusia 27 tahun melintas jalan dan pada masa sama sebuah kereta jenis Toyota Camry 2.4V (A) dipandu di lorong kanan oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 71 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar pejalan kaki tersebut.

"Akibat kemalangan tersebut, pejalan kaki tersebut mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan

"Pemandu kereta tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Tambah Azrol Anuar, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.

Iklan

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Noor Azalina Abdul Raof di talian 013-286486 bagi membantu siasatan," katanya.