Emas: Pengusaha sedia patuh syarat, lesen baharu

Iklan
Wan Hafizuddin menunjukkan produk emas di kedainya.

KOTA BHARU - Beberapa pengusaha kedai emas menyatakan kesediaan membeli emas hasil aktiviti mendulang termasuk memohon lesen pembeli emas seperti syarat baharu ditetapkan kerajaan negeri.

Peraih emas, Wan Hafizuddin Wan Rosli, 31, menyokong langkah kerajaan mewajibkan lesen kepada pendulang dan pembeli emas bagi memastikan kawal selia industri lebih teratur.

Iklan
Iklan

“Saya setuju dengan dasar baharu ini dan merancang memohon lesen mendulang serta membeli emas.

“Bagaimanapun, saya nak tunggu perincian kaedah dan proses dulu termasuk kadar royalti. Harapnya tidak terlalu tinggi,” katanya yang sudah 12 tahun berkecimpung dalam perniagaan emas.

Iklan

Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan lesen mendulang dan pembeli emas akan dibuka mulai Januari depan dengan hasil emas diwajibkan dijual kepada pembeli berlesen bagi memastikan pembayaran royalti kepada kerajaan negeri.

Menurut Wan Hafizuddin, emas mentah Kelantan berkualiti, namun perlu melalui proses pemurnian sebelum mencapai tahap standard 999 kerana lazimnya mengandungi campuran tanah dan bahan lain.

Iklan

“Emas mentah tak boleh terus dibeli ikut harga 999, biasanya ikut nilai mutu 916 dahulu.

“Emas kena diproses dengan asid untuk buang kotoran dan ketika itu akan berlaku penyusutan nilai,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai emas, Rozlin Yusof, 52, turut menyatakan kesediaan menerima emas dulang, namun mengakui prosedur baharu mungkin menambah beban operasi terutama kewajipan lesen khas dan bayaran royalti.

“Kami memang terima semua jenis emas termasuk emas dulang tapi apabila kena lesen lain, kena bayar royalti, itu jadi tambahan beban.

“Sekarang pun sudah ada cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri, lesen pembeli emas ini pula melibatkan prosedur lebih rumit,” katanya.

Jelasnya, ketidakpastian ketulenan emas mentah masih menjadi cabaran utama kerana sering bercampur pasir atau bahan asing selain risiko emas palsu.

“Kena cairkan dulu untuk pastikan mutu sebenar.

“Risiko pula tinggi takut emas palsu, emas curi atau campuran bukan logam. Sebab itu ramai kedai mungkin berkira-kira nak terima emas ini,” katanya.

Namun, Rozlin berkata, dia tetap menantikan garis panduan rasmi kerajaan sebelum membuat keputusan akhir mengenai permohonan lesen tersebut.