WQC 2025 sorot pembangunan berpandukan al-Quran, ekonomi berintegriti

Iklan
World #QuranConvention 2025 berlansung selama dua hari di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kuala Lumpur. Gambar kecil: Marhaini

KUALA LUMPUR — World #QuranConvention 2025 menghimpunkan para sarjana, pemikir dan pemimpin komuniti dari seluruh dunia bagi menegaskan semula peranan al-Quran sebagai sumber panduan hidup yang berterusan dalam memacu transformasi masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Marhaini Yusoff berkata, konvensyen tahun ini menekankan keperluan mendesak meletakkan al-Quran sebagai pelan hala tuju dalam penggubalan dasar, reka bentuk institusi serta tindakan strategik bagi menangani cabaran sosial dan ekonomi semasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Surah Al-Saff dijadikan kerangka utama perbincangan pada penganjuran kali ini kerana kandungannya yang sarat dengan prinsip keselarasan antara kata dan perbuatan.

“Surah ini menegaskan bahawa kekuatan ummah tidak dibina berasaskan retorik atau simbol semata-mata, sebaliknya berpaut pada integriti antara apa yang diucapkan dengan apa yang dilaksanakan.

Iklan

"Surah Al-Saff turut memberi peringatan keras terhadap sikap melafazkan janji tanpa dizahirkan dalam amalan yang menjadi teguran penting dalam era slogan kosong dan pembaharuan bersifat kosmetik.

"Ia juga menekankan kepentingan saf yang berdisiplin dan bersatu padu sebagai suatu prinsip yang sangat relevan dalam konteks masyarakat hari ini yang berdepan perpecahan, ketegangan geopolitik serta jurang kepercayaan yang semakin melebar," katanya pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut Marhaini berkata, Surah Al-Saff turut mengangkat konsep tijarah dengan ALLAH, mengingatkan bahawa perjuangan, pekerjaan dan pembangunan adalah sebahagian daripada ibadah.

Katanya, kemajuan strategik yang sebenar perlu berteraskan pertanggungjawaban kepada Ilahi di samping memberi kesan kepada kesejahteraan duniawi.

“Konvensyen ini memberi penekanan kukuh terhadap ekonomi berteraskan al-Quran sebagai alternatif moral dan struktur kepada cabaran global seperti ketidaksamaan, eksploitasi, kelemahan tadbir urus serta hakisan kepercayaan awam.

"Falsafah ekonomi berpandukan al-Quran bukan sekadar melibatkan peraturan teknikal dan instrumen kewangan, sebaliknya membentuk satu seni bina nilai berasaskan keadilan, ketelusan, ihsan serta pemeliharaan maruah insan.

"Melalui pendekatan itu pembangunan ekonomi ditransformasikan menjadi satu misi beretika yang melindungi golongan rentan, mengagihkan kekayaan secara bertanggungjawab serta membentuk institusi yang berteraskan akauntabiliti dan belas ihsan," katanya.

Beliau berkata, selaras dengan tuntutan Surah Al-Saff, World #QuranConvention 2025 turut memperkenalkan #Saff12Movement sebagai kerangka komprehensif yang menyusun semula peranan ummah merentasi dua belas sektor sosial dan ekonomi utama.

Katanya, inisiatif itu bertujuan memastikan mesej al-Quran tidak terhenti sebagai wacana intelektual semata-mata, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan tersusun, kerjasama antara sektor serta penjajaran strategi jangka panjang di peringkat tempatan, nasional dan antarabangsa.

Marhaini turut menjelaskan, World #QuranConvention 2025 menyeru pembinaan masa depan yang berasaskan kepercayaan, kejelasan moral serta disiplin kolektif dengan pembangunan dirangka sebagai satu bentuk tijarah yang menyumbang kepada kesejahteraan kemanusiaan.

"Konvensyen ini menegaskan pembaharuan ummah bergantung kepada penghayatan nilai amanah, ihsan dan kesatuan yang berdisiplin sebagai teras kepada tadbir urus, ekonomi serta pengorganisasian masyarakat.

"Ia sekali gus memposisikan al-Quran sebagai kompas abadi dalam membina tamadun yang adil dan berperikemanusiaan," katanya.