KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengajak pemimpin dalam semua bidang termasuk korporat, perkhidmatan awam atau industri untuk mendasari organisasi masing-masing dengan al-Quran.
Perkara itu disuarakan beliau ketika menyampaikan ucapan di hadapan hampir 1,000 peserta World #QuranConvention 2025 yang menutup tirainya pada Ahad.
Menurutnya, al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca tetapi panduan untuk diamalkan, dilaksanakan dan diintegrasikan dalam setiap aspek kehidupan dan masyarakat.
“Alhamdulillah, ketika kita sampai ke penghujung World #QuranConvention yang begitu luar biasa ini, kita merenungi perbincangan, pandangan dan strategi yang telah terungkai sepanjang dua hari ini. Semuanya membawa kita kepada satu kebenaran iaitu al-Quran.
“Bayangkan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang mampu menyampaikan khutbah Jumaat kepada syarikatnya, membimbing para pekerja bukan sahaja dalam prestasi tetapi juga dalam nilai, etika dan kesedaran spiritual.
“Ini bukan angan-angan idealistik tapi ia adalah keupayaan yang wajib kita semai demi masa depan ummah,” katanya ketika berucap di Perdana Hall Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Mohd Na'im menambah, perkara itu juga selaras dengan tuntutan al-Saff World #QuranConvention 2025 yang memperkenalkan #Saff12Movement sebagai kerangka komprehensif yang menyusun semula peranan ummah merentasi 12 sektor sosial dan ekonomi utama.
Beliau berkata, #Saf12Movement menyediakan platform bukan sahaja untuk mendalami ilmu al-Quran tetapi juga mewujudkan kesepaduan pemikiran antara hikmah kitab suci umat Islam dan sains dunia bagi memastikan kedua-duanya bergerak selari dalam kehidupan manusia.
“Ia membolehkan kita menggali lebih dalam ilmu al-Quran dan menggabungkannya dengan sains moden serta kepakaran dunia secara harmoni.
“Kita ingin melihat lebih ramai jurutera, pengurus atau pemimpin yang menghafal al-Quran, memahami fiqh dan berkeupayaan menjadi imam komuniti atau penasihat agama, namun dalam masa sama memimpin inovasi dalam bidang masing-masing,” katanya.
Ujarnya, bagi pihak Kementerian Hal Ehwal Agama, beliau turut menegaskan bahawa #Saff12Movement berdiri sebagai manifestasi hidup Bunyanun Marsus, mengukuhkan asas kepada Wilayah Ekonomi al-Quran dan Wilayah-wilayah Islam.
Mohd Na'im berkata, gerakan tersebut juga selaras secara mendalam dengan visi halal negara kerana halal bukan sekadar logo tetapi salah satu ekspresi paling praktikal terhadap nilai ekonomi Islam.
“Selaras dengan nilai-nilai ini, kementerian akan terus menyediakan panduan, pakar agama dan sokongan penasihat merentasi kementerian kerajaan, sektor korporat dan pihak berkuasa negeri melalui Syarikat Dakwah Korporat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Syarikat Dakwah Korporat di bawah Jakim digalakkan untuk tampil ke hadapan dan menterjemah pandangan daripada World#QuranConvention kepada impak yang nyata,” katanya.
Beliau menambah, dengan komitmen yang betul pihaknya dapat membantu organisasi menghayati prinsip al-Quran dalam strategi, membina budaya kerja yang beretika dan berperikemanusiaan.
Selain katanya, ia juga dapat membantu melahirkan pemimpin yang teguh spiritual dan cemerlang profesional.
“Seruan tindakan ini mengajak setiap sektor industri untuk menggali lebih dalam nilai, ilmu dan inovasi daripada al-Quran demi kebaikan negara,” katanya.
Program dua hari yang bermula pada Sabtu itu turut menampilkan penceramah terkenal termasuk Pengasas Institut Bayyinah dari Amerika Syarikat (AS), Nouman Ali Khan; Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail; Ketua Eksekutif Oxford Intellect, Dr Imran Alvi dan ramai lagi.