KUALA LUMPUR – Empat resolusi utama digariskan sebagai panduan membina kehidupan, keluarga dan ekonomi yang lebih berintegriti berasaskan ajaran al-Quran.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, resolusi pertama menekankan peranan individu dan keluarga sebagai penjaga amanah, termasuk pembinaan keputusan berasaskan panduan Ilahi serta pemulihan institusi keluarga.
“Dalam kehidupan seharian, cara kita membuat keputusan dalam urusan perniagaan dan ekonomi perlu mempertimbangkan legasi yang ditinggalkan.
“Apa sahaja yang dilakukan hari ini perlu disertai perancangan jauh ke hadapan kerana semuanya akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT kelak termasuk perniagaan, rutin harian dan penyelidikan yang dijalankan dengan harapan membawa kebaikan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkongsi resolusi terbabit semasa World #QuranConvention (WQC) 2025 yang berlangsung di Perdana Hall, Kementerian Pelancongan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Ahad.
Beliau berkata, resolusi kedua melibatkan komuniti, iaitu menggariskan keperluan memperbetulkan kefahaman keluarga termasuk peranan suami dan isteri dalam institusi kekeluargaan.
Menurutnya, pemulihan institusi keluarga perlu dilakukan mengikut hukum dan panduan al-Quran sebagai asas pembentukan masyarakat.
Fazrul turut menekankan kepentingan etika dalam dunia perniagaan, termasuk memastikan harta dibina bukan untuk mendominasi tetapi memberi manfaat serta mengelakkan segala bentuk penindasan.
Beliau menjelaskan, resolusi ketiga memberi penekanan kepada pemilik perniagaan supaya menjadikan batas etika sebagai kayu ukur kejayaan.
“Keputusan yang dibuat bukan sekadar berdasarkan data, tetapi juga panduan ALLAH SWT,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, golongan tersebut diingatkan agar membina harta bukan untuk menguasai, sebaliknya memberi manfaat kepada ramai.
“Resolusi keempat pula menuntut pemimpin dan cendekiawan untuk berdiri tegas menolak rasuah dalam apa jua bentuk, selain komited mematuhi sistem dan peraturan demi menjaga keadilan.
“Kita perlu memperbetulkan sistem, mematuhi peraturan dan melindungi keadilan. Perubahan perlu dimulakan walaupun melalui langkah-langkah kecil,” katanya lagi.
Jelas beliau, keempat-empat resolusi itu penting bagi menghadapi cabaran global masa kini yang menuntut masyarakat berpegang kepada prinsip keadilan, ihsan, amanah dan akauntabiliti.