REMBAU - Rindu...itu perkataan yang boleh menggambarkan perasaan Noor Muhamad Asun, 46, selepas anak bongsunya meninggal dunia dipercayai akibat lemas di kolam sebuah rumah kelab di Lenggeng pada Sabtu.
Meskipun baharu sehari pemergian Nur Dhiya Azzalea Noor Muhamad, 5, namun bapa kepada empat anak itu tidak dapat menyembunyikan rasa sedihnya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Rembau di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, anaknya ditemui tidak sedarkan diri di dalam kolam ketika sedang mandi bersama rakan sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.
Tragedi itu berlaku selepas berakhirnya majlis graduasi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang dihadirinya di lokasi berkenaan.
Noor Muhamad berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja dan hanya isteri serta dua anaknya termasuk arwah yang berada di lokasi.
"Saya terasa sangat kehilangan dia. Dia seorang anak yang manja suka peluk saya dan suka bergurau dengan saya di dapur.
"Tapi sekarang, semua itu dah tiada. Macam semalam bila dia tiada, saya rasa sunyi sangat," luahnya.
Sementara itu, Pengerusi Tabika KEMAS terbabit, Habualwazie Bujang berkata, kejadian itu sememangnya mengejutkan mereka yang berada di lokasi kerana berlaku secara drastik ketika barisan ahli jawatankuasa (AJK) sedang berkemas untuk pulang.
"Kejadian itu berlaku selepas berakhirnya majlis graduasi seramai 24 murid tabika kami dan aktiviti mandi bukan sebahagian daripada atur cara yang dianjurkan di rumah kelab berkenaan.
"Waktu itu kebanyakan ibu bapa sudah pulang melainkan barisan AJK yang sedang berkemas di dewan, manakala ada anak-anak sedang mandi di kolam sambil diawasi ahli keluarga masing-masing," katanya.
Bagaimanapun ujarnya, secara tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kejadian terbabit dan seorang AJK yang merupakan jururawat sempat memberi bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum ambulans sampai.
Tambahnya, ketika itu, kanak-kanak berkenaan sudah dilihat tidak bernyawa dan telah disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar di sini.
"Saya tak berani nak komen lebih kejadian berlaku. Ini kali kedua kami anjurkan program di situ. Takziah kepada keluarga," katanya.
Sementara itu jenazah Nur Dhiya Azzalea selesai dibedah siasat kira-kira jam 11.50 pagi dan kemudian di bawa ke Mantin untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8.