Tiada kompromi dalam siasatan kes tembakan Durian Tunggal- Polis

Iklan
Laporan Sinar Harian baru-baru ini mengenai tiga penjenayah ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal. Gambar kecil: Mohd Khalid

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang dikesan berkaitan kes tembakan di Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan berkaitan kes ini dijalankan secara menyeluruh.

Iklan
Iklan

"PDRM menegaskan komitmen untuk menjalankan siasatan secara profesional dan berintegriti serta tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku.

"Masyarakat juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan integriti siasatan yang sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Katanya, pihaknya juga mengesahkan menerima sekeping cakera padat berkaitan kes tembakan itu.

"Polis telah menerima sekeping cakera padat (CD) pada Sabtu yang diserahkan oleh ahli keluarga kepada salah seorang suspek terlibat.

Iklan

"Cakera padat itu dipercayai mengandungi rakaman audio perbualan telefon antara suspek dan isterinya sebelum kejadian," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berhubung insiden ini melalui talian hotline 019-376 4763, dan menghargai kerjasama masyarakat dalam usaha menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.

Pada 3 Disember lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah menubuhkan pasukan siasatan khas yang diketuai oleh seorang pegawai kanan berpangkat Senior Assistant Commissioner (SAC) bagi mengambil alih dan mengendalikan siasatan ini secara menyeluruh di peringkat Bukit Aman.

Langkah ini diambil bagi memastikan setiap aspek siasatan diteliti secara teratur, profesional dan tanpa sebarang kompromi.

Media pada Rabu melaporkan ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.

Pada 24 November lepas, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan tiga penjenayah berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Kejadian pada jam 4.30 pagi itu menyebabkan anggota polis berpangkat koperal, berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.