BRUSSELS - Laurent Simons, remaja pintar berusia 15 tahun dari Belgium, sekali lagi menggemparkan dunia akademik apabila menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam fizik kuantum di Universiti Antwerp Belgium.
Kejayaan itu diperolehnya setelah beliau berjaya mempertahankan tesisnya bulan lalu, dan kini remaja itu menjadi antara pemegang PhD termuda dalam sejarah moden.
Menurut saluran Flemish VTM, Simons menyempurnakan pembentangan doktoral itu pada minggu lalu.
Dalam satu hantaran di Instagram, beliau menulis ringkas namun penuh makna:"Kini rasmi gelaran Dr Simons! Baru sahaja menamatkan PhD saya! Saya akan terus menuntut ilmu tanpa jemu."
Perjalanan akademik luar biasa
Simons tidak pernah mengikuti acuan biasa seperti kanak-kanak lain. Beliau menamatkan persekolahan menengah pada usia lapan tahun, ketika kebanyakan kanak-kanak baru memasuki darjah dua.
Pada usia 12 tahun, beliau memperoleh ijazah sarjana muda dalam fizik, menamatkan program tiga tahun itu dalam tempoh hanya 18 bulan.
Pencapaian itu menjadikan Simons sensasi antarabangsa dalam dunia pendidikan dan penyelidikan.
Ibu bapanya, Alexander dan Lydia Simons, mendedahkan pada ketika itu bahawa beberapa syarikat teknologi gergasi dari Amerika Syarikat (AS) dan China telah menawarkan peluang penyelidikan kepada Simons.
Namun, mereka memilih untuk membenarkan anak mereka membesar seperti rakan seusianya dan bukan sekadar sebagai saintis, tetapi juga sebagai remaja biasa.
Minat terhadap fizik kuantum dan perubatan
Selepas tamat pengajian ijazah sarjana muda, Simons melangkah ke peringkat sarjana dalam bidang fizik kuantum.
Beliau mendalami bidang sukar seperti boson, lohong hitam serta kondensat Bose–Einstein pada suhu ultrarendah.
Simons turut menjalani latihan penyelidikan di Institut Max Planck, Jerman di mana beliau bekerja dalam bidang optik kuantum dan kecerdasan buatan untuk pengesanan awal kanser.
Laporan terdahulu menyatakan bahawa beliau memiliki memori fotografik dan IQ sekitar 145 iaitu dalam kelompok 0.1 peratus paling tinggi dalam populasi manusia.
Ibu bapanya menyedari keistimewaan itu sejak Simons masih kecil apabila beliau menguasai maklumat pada tahap luar biasa.
Pengajian PhD kedua
Minatnya terhadap bidang perubatan bermula selepas pemergian datuk dan neneknya ketika beliau berusia 11 tahun.
Sejak itu, Simons berazam untuk menumpukan penyelidikan ke arah memanjangkan jangka hayat manusia.
Beliau menegaskan bahawa matlamatnya bukanlah mahukan hidup abadi, sebaliknya memberi peluang kehidupan lebih sihat dan lebih panjang kepada masyarakat.
Sejurus selesai mempertahankan tesis PhD di Antwerp, Simons dilaporkan berlepas ke Munich untuk memulakan doktor falsafah kedua dalam sains perubatan dengan tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang pesat.
“Program ini sebenarnya berasingan daripada fizik,” jelas bapanya.
Walaupun pencapaiannya menakjubkan, Simons bukanlah pemegang rekod PhD termuda dunia.
Rekod sebelum ini dipegang oleh Johann Heinrich Friedrich Karl Witte yang menamatkan PhD pada usia 13 tahun pada tahun 1814 seperti direkodkan Rekod Dunia Guinness.
Namun begitu, bagi masyarakat dunia hari ini, Simons tetap berdiri sebagai simbol kepintaran luar biasa, kerendahan hati dan dedikasi terhadap ilmu. - Agensi