Hubungan erat Sabah, Persekutuan diyakini selesaikan tuntutan 40 peratus - Hajiji
Iklan
Hajiji (tiga dari kiri) mengiringi Anwar (tiga dari kanan) semasa menghadiri Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Negeri Sabah di SICC, Kota Kinabalu pada Sabtu.
KOTA KINABALU - Hubungan erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan diyakini mampu mempercepatkan penyelesaian beberapa perkara penting termasuk berkaitan tuntutan geran khas 40 peratus hasil Sabah yang dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, hubungan yang utuh antara kedua-dua kerajaan bukan sahaja memberi kestabilan tetapi turut menjadi asas kepada kesinambungan pembangunan negeri.
Iklan
Iklan
"Kita percaya bahawa hubungan yang rapat dan kukuh bukan sahaja perlu, malah penting untuk memastikan kemajuan berterusan. Ini termasuk perkara berkaitan kedaulatan, keselamatan, perpaduan dan kenegaraan.
"Walaupun kita memperjuangkan hak-hak Sabah, kita tidak boleh lupa tanggungjawab kita untuk menjaga kepentingan negara.
Iklan
"Saya yakin hubungan yang kukuh akan membawa banyak manfaat, termasuklah pemuktamadan obligasi Kerajaan Persekutuan berkaitan pembayaran hak hasil 40 peratus untuk Sabah, yang kita harap dapat dimuktamadkan tidak lama lagi demi kebaikan bersama," katanya ketika berucap semasa Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Sabtu.
Majlis tersebut turut disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Iklan
Hajiji dalam pada itu turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus mengangkat martabat Sabah dalam tempoh lima tahun akan datang melalui pembangunan ekonomi yang menyeluruh dan peningkatan kesejahteraan rakyat.
"Matlamat utama kita adalah memacu kemajuan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Setiap perancangan yang dilaksanakan mesti memberi tumpuan kepada kesejahteraan mereka, sama ada secara langsung atau tidak langsung, melalui peningkatan ekonomi dan peluang pekerjaan," ujarnya.
Katanya, mulai tahun depan, dasar pembangunan Sabah akan dipandu sepenuhnya oleh Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0, yang turut merangkumi pembangunan tiga taman perindustrian baharu di tiga daerah.
Beliau berkata, tiga taman perindustrian tersebut adalah Taman Perindustrian Industri Ekonomi Biru di Kudat, Taman Perindustrian Minyak dan Gas di Beaufort, dan Taman Perindustrian Teknologi Tinggi dan Semikonduktor antara Kota Belud dan Kota Marudu.
"Langkah ini bertujuan menampung peningkatan minat pelabur global terhadap sektor strategik di Sabah," katanya.
Selain itu, Hajiji berkata, turut dilaksanakan inisiatif kebajikan rakyat diperluas dan sekali gus beliau mengulangi komitmen untuk menjaga kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, Hajiji mengumumkan beberapa penambahbaikan program kebajikan sosial negeri.
"Antaranya termasuk pembinaan 50 unit Rumah Mesra SMJ di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar.
"Bantuan kewangan bulanan RM300 kepada 100,000 penerima bermula tahun depan. Bantuan kewangan baharu kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
"Insentif pembiayaan deposit rumah pertama bagi membantu rakyat memiliki kediaman sendiri," katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri turut akan menggandakan usaha menaik taraf infrastruktur asas, termasuk peruntukan lebih RM1.2 bilion bagi projek bekalan air, yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula pertengahan tahun depan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas peruntukan RM765 juta bagi menyiapkan Projek Sabah Southern Link, yang bakal menghubungkan grid elektrik Pantai Barat dan Pantai Timur sekali gus mengurangkan gangguan bekalan elektrik di kawasan terlibat.
Dalam pada itu, beliau memuji kecekapan pasukan keselamatan yang berjaya memastikan keadaan terkawal dan aman sepanjang pilihan raya negeri baru-baru ini.
Perbuatan sekumpulan individu yang melakukan aktiviti seperti berzikir di kawasan tanah perkuburan pada tengah malam di Sandakan, yang tular di media sosial baru-baru ini, boleh diwartakan sebagai ajaran sesat sekiranya didapati menyalahi ajaran Islam, lapor wartawan Sinar Harian,
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga Exco Agama, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, siasatan berhubung tindakan kumpulan individu terbabit sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), dan mereka yang terlibat telah dipanggil untuk memberi keterangan.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/762544/edisi/sabah-sarawak/zikir-di-tanah-kubur-boleh-diwarta-sesat-jika-menyalahi-ajaran-islam---mohd-arifin
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.