KUANTAN – Peruntukan RM5 juta yang diumumkan menerusi Belanjawan Pahang 2026 bagi memperkasakan komuniti Felda di negeri ini perlu digunakan sebaik mungkin bagi memberi manfaat maksimum kepada warga peneroka.
Timbalan Pengerusi Kami Anak FELDA (KAF) Wilayah Kuantan, Faisal Abd Samad berkata, pelbagai program yang dilaksanakan Sekretariat Muafakat FELDA Pahang sepanjang tahun ini perlu diteruskan dan diperkembangkan lagi.
“Semalam (Jumaat) Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada sekretariat yang diterajui Exco Hal Ehwal Felda, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Amizar Abu Adam.
"Saya yakin ia dapat memberi nilai tambah kepada program sedia ada dan seterusnya membolehkan pelaksanaan program baharu, terutamanya untuk generasi kedua FELDA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Felda Lepar Hilir 1 hingga 4 dan Tabika KEMAS Kampung Orang Asli Batu 14 dan Kilometer 56, di sini pada Sabtu.
Majlis dirasmikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar, Mustaqim Zakaria.
Seramai 180 kanak-kanak berusia lima dan enam tahun menerima sijil pada majlis itu
Faisal berkata, program seperti Jelajah Klinik Tok Wan, Kembara Muafakat Felda Pahang, Sumbangan Makmur serta Program Pembangunan Pendidikan FELDA memberi impak langsung kepada warga peneroka di negeri ini.
Jelasnya, program ini berperanan sebagai jambatan antara warga Felda dan kerajaan negeri bagi memastikan kemakmuran komuniti FELDA terus berkekalan.
Beliau memaklumkan kerajaan negeri juga perlu memberi perhatian kepada isu pemilikan kediaman yang masih membelenggu generasi kedua dan ketiga Felda.
"Ini antara masalah yang masih membelenggu mereka dan saya faham kerajaan negeri memang sentiasa berusaha mencari jalan bagi menyelesaikan isu atau masalah ini," jelasnya.
Dalam pada itu, Faisal turut berharap kerajaan dan sekretariat juga menumpukan kepada pembangunan bakat anak muda Felda dalam bidang kemahiran baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
"Bagi saya menjadi satu kerugian jika perkembangan teknologi AI tidak dikuasai semua pihak, termasuk generasi muda di tanah rancangan," katanya.
Ditanya mengenai dakwaan pembangkang kononnya belanjawan dibentangkan Wan Rosdy seperti 'menyambut' pilihan raya, Faisal menegaskan dakwaan itu adalag tidak tepat.
“Kenapa nak kata belanjawan itu ‘gula-gula’? Setiap tahun kerajaan Pahang memang mengagihkan pelbagai insentif kepada rakyat. Kita tahu apa yang kerajaan negeri buat,” ujarnya.