JKR Lipis jelaskan henti sementara Jambatan Sungai Tekai, projek masih ikut jadual

Iklan
JKR Lipis tampil memberi penjelasan mengenai kerja pembinaan Jambatan Sungai Tekai di Jalan Kampung Petola di sini dihentikan sementara berikutan isu keselamatan yang dikesan semasa kerja di tapak.

KUALA LIPIS - Jabatan Kerja Raya (JKR) Lipis menjelaskan kerja pembinaan Jambatan Sungai Tekai di Kampung Petola dihentikan sementara atas faktor keselamatan, namun projek masih mengikut jadual kontrak.

Menurut kenyataan JKR Lipis, kerja pembinaan jambatan itu sebelum ini dimulakan dengan pelaksanaan cerucuk jenis micropile sebelum pihak perunding mengesan isu kegelinciran integriti pada struktur cerucuk yang telah dibina.

Iklan
Iklan

Jelas kenyataan itu, kerja-kerja di tapak diarahkan dihentikan sementara bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan untuk mengenal pasti punca kegelinciran serta kaedah mitigasi yang paling selamat dan sesuai.

"Walaupun kemajuan kerja telah terhenti buat seketika, namun JKR Lipis percaya projek ini berpotensi untuk disiapkan lebih awal daripada tarikh siap semasa.

Iklan

"Ini memandangkan tempoh kontrak adalah berbaki hampir 18 bulan sehingga Jun 2027," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengikut rekod, tarikh milik tapak projek pada 3 Disember 2024 dan dijangka siap 2 Jun 2027 serta pelaksanaan kerja dilakukan konsensi penyelenggaraan jalan negeri.

Iklan

Pada Selasa, satu hantaran berserta beberapa keping gambar dimuat naik oleh pengguna media sosial yang mendakwa kerja pembinaan jambatan di Sungai Tekai, Kampung Petola, Kuala Lipis terhenti, sekali gus menimbulkan kekesalan penduduk setempat.

Hantaran itu mempersoalkan kelewatan projek jambatan sepanjang 10 meter yang masih belum siap walaupun pembinaan didakwa bermula lebih setahun lalu, dengan hanya struktur tiang jambatan dibina setakat ini, menyebabkan kemudahan berkenaan belum dapat digunakan.

Menurut kenyataan itu, pihak perunding sedang menyediakan reka bentuk alternatif cerucuk untuk memastikan keutuhan dan keselamatan jambatan.

Katanya, langkah tersebut dilakukan selepas penilaian semula keadaan tanah serta struktur di tapak.

"Kerja dijangka disambung semula pada Januari 2026 setelah rekabentuk alternatif dimuktamadkan dan diluluskan" jelas kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, JKR Lipis menegaskan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan dan sebarang pembinaan jambatan tidak akan diteruskan sekiranya terdapat risiko terhadap integriti struktur, tanpa mengira lokasi, pangkat atau darjat mana-mana pihak.

Menurut kenyataan itu, keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan mutlak pihaknya.

"JKR Lipis berharap agar sebarang kemusykilan atau pertanyaan berkaitan projek-projek JKR Lipis dirujuk terus kepada pihak JKR bagi mendapatkan maklumat yang sahih, sebelum sebarang dakwaan atau maklumat tidak tepat disebarkan kepada umum.

"JKR Lipis sentiasa komited dalam menyediakan infrastruktur desa yang mampan, selamat dan berkualiti demi kesejahteraan penduduk setempat," katanya.