80 peratus populasi dunia hanya kuasai enam peratus kekayaan global

Iklan
Imran ketika sesi Ucap Utama: Ekonomi Berteras Kemanusiaan: Paradigma Baharu sempena WQC 2025 di Dewan Perdana, MITI Kuala Lumpur pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 80 peratus populasi dunia hanya menguasai sekitar enam peratus daripada keseluruhan kekayaan global yang dianggarkan bernilai RM916.6 trilion, sekali gus menggambarkan jurang ketidaksamarataan ekonomi yang semakin melebar.

Ketua Pegawai Eksekutif Oxford Intellect, Dr Imran Alvi berkata, jurang ketidaksamarataan ekonomi itu semakin melebar susulan perubahan struktur pasaran dan tumpuan kekayaan dalam kalangan golongan elit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, situasi tersebut menunjukkan kekayaan dunia semakin tertumpu kepada sebahagian kecil populasi yang memegang kawalan besar terhadap aset, pelaburan dan pasaran modal.

"Hanya satu peratus golongan elit memiliki 43 peratus kekayaan dunia. Ini bermakna 300 individu memiliki kekayaan lebih besar berbanding tiga bilion manusia," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sesi Ucap Utama: Ekonomi Berteras Kemanusiaan: Paradigma Baharu di World #QuranCovention (WQC) 2025 di Perdana Hall Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Sabtu.

Ujar Imran, jurang antara negara juga semakin bertambah berdasarkan perbandingan sejarah perkembangan ekonomi global.

Iklan

“Dua ratus tahun lalu, negara elit hanya tiga kali lebih kaya berbanding negara miskin. Tetapi pada penghujung era kolonial, jurang itu meningkat kepada 35 kali, dan hari ini ia melonjak kepada 80 kali ganda,” ujarnya.

Beliau menegaskan konsep ekonomi berteraskan kemanusiaan perlu diterapkan dalam komuniti Islam bagi membina masyarakat yang lebih adil dan sejahtera, sekali gus menangani isu ketidakseimbangan kekayaan dunia.

“Untuk membina ekonomi berperikemanusiaan, kita perlu membentuk individu yang mempunyai nilai kemanusiaan seperti beretika, bermoral, berani dan adil.

“Kita mesti memberi fokus kepada masa yang diluangkan untuk membina karakter. Tanpa pelaburan masa, kita tidak dapat melahirkan individu berperikemanusiaan," kata beliau.