KUALA LUMPUR – Islam menerangkan empat perspektif berbeza yang bertentangan teori ekonomi moden dalam memahami tingkah laku manusia.
Pengasas Institut Bayyinah dari Amerika Syarikat (AS), Nouman Ali Khan berkata, manusia sering digambarkan sebagai makhluk yang 'digerakkan' oleh ketamakan, kepentingan diri dan keinginan memaksimumkan kemewahan.
"Perspektif Islam bermula dengan satu asas penting iaitu manusia tidak memiliki harta secara mutlak, sebaliknya hanya penjaga bagi rezeki dan sumber yang dipinjamkan oleh ALLAH SWT.
"Segala yang kita miliki (seperti) rumah, harta, dan perniagaan, ia bukan milik mutlak. Kita hanya menjaga dalam tempoh yang diberi.
"Bila kita faham ia bukan milik mutlak, cara kita menggunakannya juga berubah,” katanya ketika sesi Refleksi Utama: Al-Quran dan Ekonomi Global sempena World #QuranConvention 2025 di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di sini pada Sabtu.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Penasihat Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Dalam pada itu Nouman turut menegaskan, tingkah laku manusia tidak boleh hanya berorientasikan diri sendiri kerana setiap individu saling terhubung.
"Bukan semuanya tentang 'aku'. Kita mempunyai hubungan sosial yang membentuk kesejahteraan bersama.
"Sifat pemurah pula bukanlah kos, tetapi aset rohani dan sosial. Dalam kapitalisme, amalan memberi dianggap sebagai kerugian namun bagi orang beriman, sedekah mendatangkan keuntungan.
“Apa sahaja yang dibelanjakan untuk kebaikan akan kembali kepada diri sendiri, bukan sahaja di akhirat tetapi dalam bentuk kesejahteraan masyarakat," ujarnya.
Mengulas lanjut Nouman berkata, kesedaran tentang kematian menjadi asas penting dalam membentuk tingkah laku.
Menurutnya, manusia moden sering cuba menangkis hakikat kematian dengan mengejar simbol keabadian, tetapi Islam menegaskan umur adalah terhad dan setiap ujian merupakan sebahagian perjalanan hidup.
“Mahu hidup sihat itu bagus, tetapi jangan menolak hakikat mati. Bila sedar hidup ini sementara, kita akan mengurus harta, kuasa dan masa dengan penuh tanggungjawab," katanya.