Negara Arab, Islam tolak rancangan Israel buka semula lintasan Rafah hanya satu hala

Iklan
Pada Rabu Israel mengumumkan akan membuka semula lintasan itu dalam beberapa hari lagi di bawah perjanjian gencatan senjata Oktober dengan Hamas, tetapi menyatakan bahawa operasinya hanya sehala - Foto: Agensi

ABU DHABI - Menteri luar beberapa negara Arab dan Islam pada Jumaat menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan terbaharu Israel yang mencadangkan Lintasan Rafah dibuka hanya sehala bagi memindahkan penduduk Gaza ke Mesir, lapor Xinhua.

Dalam kenyataan bersama, menteri luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan, Türkiye, Arab Saudi dan Qatar menolak sebarang percubaan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa, serta menggesa supaya rancangan yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dipatuhi, yang menurut mereka memerlukan Lintasan Rafah kekal dibuka dua hala bagi memastikan kebebasan pergerakan penduduk Gaza.

Iklan
Iklan

Kenyataan itu menegaskan bahawa rancangan itu bertujuan memastikan rakyat Palestin kekal di tanah mereka dan terlibat dalam usaha membina semula tanah air, selain memulihkan kestabilan dan memperbaiki keadaan kemanusiaan.

Menteri-menteri berkenaan turut menekankan kepentingan mengekalkan gencatan senjata, mengurangkan penderitaan orang awam, memastikan akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan, serta memulakan usaha pemulihan awal dan pembinaan semula.

Iklan

Mereka juga menyorot keperluan mewujudkan keadaan yang membolehkan Pihak Berkuasa Palestin menyambung semula tanggungjawab mentadbir Gaza bagi menyediakan asas keselamatan dan kestabilan lebih kukuh.

Israel mengumumkan pada Rabu bahawa ia akan membuka semula lintasan itu dalam beberapa hari lagi di bawah perjanjian gencatan senjata Oktober dengan Hamas, tetapi menyatakan bahawa operasinya hanya sehala, membenarkan penduduk Palestin keluar dari Gaza tetapi tidak kembali. Kerajaan Mesir menafikan sebarang penyelarasan dengan Israel mengenai pembukaan semula itu.

Iklan

Lintasan berkenaan hampir selamanya ditutup sejak Mei 2024 apabila tentera Israel mengambil alih bahagian Palestin. Sebelum itu, ia merupakan laluan keluar utama bagi penduduk Palestin dan pintu masuk penting bagi bantuan kemanusiaan. - Bernama