PUTRAJAYA - Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meraih dua pengiktirafan antarabangsa iaitu Honorable Mention dalam PR Daily Awards 2025 baru-baru ini.
Pengiktirafan bagi kategori Penggunaan Kecerdasan Buatan dan Pengurusan Krisis itu diberi oleh Ragan Communications yang berpejabat di Chicago, Amerika Syarikat bagi mengiktiraf hasil kerja paling berimpak, kreatif dan berpengaruh dalam bidang perhubungan awam, pemasaran serta media sosial.
Finalis pada tahun ini telah diraikan dalam satu majlis PR Daily Awards pada 2 Disember lalu di City Winery, New York, Amerika Syarikat.
Pengarah BKS SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, bagi kategori Penggunaan Kecerdasan Buatan, SPRM diiktiraf atas usaha memanfaatkan kecerdasan buatan dalam meningkatkan keberkesanan komunikasi bagi memastikan penyampaian maklumat lebih cekap, tepat dan responsif.
Menurutnya, kategori Pengurusan Krisis pula menilai keupayaan pasukan komunikasi mengurus situasi sensitif secara pantas dan berkesan.
"Pengiktirafan itu mencerminkan kemampuan SPRM mengendalikan maklumat berkaitan serta mengekalkan ketelusan ketika berdepan tekanan masyarakat dan cabaran persepsi.
"Kedua-dua pengiktirafan menunjukkan bahawa pencapaian SPRM berada pada tahap hampir setara dengan pemenang utama seperti Yahoo dan Massachusetts Bay Transporation Authority sekali gus membuktikan tahap kerja komunikasi strategik suruhanjaya ini memenuhi penanda aras antarabangsa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, Julai lalu, BKS SPRM berjaya merangkul tiga anugerah berprestij di The 5th ASEAN PR Excellence Awards 2025 anjuran ASEAN Public Relations Network (APRN) yang berpangkalan di Jakarta dengan kerjasama Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) yang mengiktiraf pencapaian cemerlang sektor perhubungan awam di negara-negara ASEAN.
Jelasnya, dengan pengiktirafan ini, SPRM komited untuk terus memperkasa hubungan dengan masyarakat melalui strategi komunikasi yang lebih efektif.
"Ini bagi menyokong usaha pencegahan rasuah negara secara lebih menyeluruh dan berdaya saing,” ujarnya.