KUALA LUMPUR - Sokongan Menara Kuala Lumpur sebagai rakan strategik World #QuranConvention (WQC) 2025 dapat memperkukuhkan komitmen membina organisasi dan masyarakat berteraskan nilai menerusi surah al-Saff.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Khairil Faizal Othman berkata, persidangan antarabangsa itu memainkan peranan menyatukan nilai, pemikiran dan komuniti serta memberi inspirasi kepada pembangunan insan dan organisasi selari dengan aspirasi Kuala Lumpur Tower.
"Melalui penglibatan ini, kami dapat menyemarakkan nilai murni, disiplin dan integriti sebagai asas budaya kerja dan pembangunan masyarakat sekali gus menjadikan Kuala Lumpur Tower bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi ruang penyatuan komuniti yang menyokong dialog, refleksi dan pengukuhan akhlak.
"WQC mengangkat mesej positif tentang kepentingan ilmu, akhlak dan kesedaran sosial, selari dengan usaha membentuk komuniti yang lebih sedar dan berintelek.
"Kami menyokong penganjuran program agama berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara sekali gus mengukuhkan peranan kami sebagai organisasi yang mempromosikan nilai spiritual, moral dan kemasyarakatan," katanya.
Menurut Khairil Faizal, WQC 2025 yang berlangsung selama dua hari itu dilihat turut membantu menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab pemikiran, kemanusiaan dan pengalaman budaya.
"Acara ini dapat menyemarakkan ekosistem ilmu dengan menjadikan Kuala Lumpur ruang perbincangan global mengenai nilai, moral dan solusi masyarakat moden serta mengangkat budaya Malaysia yang harmoni.
"Selain itu, ia dapat memperkasakan pembangunan masyarakat melalui dialog, bengkel dan penyertaan aktif komuniti dan membuka mata bahawa negara mampu menganjurkan acara bertaraf dunia dengan kualiti organisasi tinggi," katanya.
Dalam usaha menarik pelancong, Khairil Faizal berkata, pihaknya melaksanakan beberapa langkah strategik untuk merangsang emosi, pancaindera dan memori pelawat menerusi pengalaman.
"Falsafah kami mudah yang mana pelawat hadir bukan kerana pemandangan, tetapi kembali kerana pengalaman menerusi kurasi visual 360°, pencahayaan menara bertema, 'ambient soundscape', tekstur ruang premium, aroma khas dan gastronomi beridentiti Malaysia.
"Bagi generasi muda, Menara Kuala Lumpur memperkenalkan Sensory-driven spaces seperti Sky Terrace, Sky Box, Tower Terrace dan Orbit Revolving Dining, penceritaan melalui lima maskot rasmi selain ruang seni dan budaya hidup termasuk festival, persembahan muzik kurasi, pop-up kreatif serta aktiviti komuniti," katanya.
Jelas Khairil Faizal, Menara Kuala Lumpur bukan hanya mercu tanda, tetapi platform berpengaruh untuk jenama bercerita kepada dunia.