SUNGAI PETANI - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu seni bela diri silat terus diperkasa dan tidak dilupakan khususnya dalam kalangan orang Melayu seiring dengan kemajuan teknologi serta digital yang memacu pembangunan pesat negara.
Beliau berkata walaupun negara kini mencatatkan kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk kecerdasan buatan, teknologi digital dan pembinaan pusat data, silat perlu terus dipelihara sebagai warisan budaya serta jati diri bangsa.
"Bagi pihak Kerajaan MADANI... kita akan terus bekerja memastikan Malaysia muncul sebagai negara yang hebat dan berjaya di rantau Asia… tetapi kita juga mahu negara ini berakar ke bumi, orang Melayu tidak hilang jati diri... nak angkat martabat, harakat dan darjat bangsa dengan menimba ilmu yang baharu tetapi masih berakar kepada sejarah bangsa termasuk seni silat,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Himpunan Gema Pendekar MADANI Zon Utara dan Kejuaraan Silat Terbuka Piala Pendekar Utama Negara Dato’ Dr Raja Abdul Majid di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Perdana Menteri juga berkata setiap sekolah, kampung dan pinggir bandar wajar mempunyai kumpulan silat bagi memupuk semangat, disiplin serta daya juang khususnya orang Melayu.
Bagaimanapun, beliau berkata seorang pesilat perlu menjaga akhlak dan berpaut kepada akidah Islam di samping memperkukuh silaturahim selain menerima realiti bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum serta agama.
"Dunia berubah, mesti ada kekuatan ilmu, mesti ada kefahaman tentang teknologi… tetapi apabila kita berakar kepada bumi, kita tidak hilang budaya Melayu, kita tidak lupa jati diri dan sejarah bangsa kita,” katanya. - Bernama