KEPALA BATAS - Kerajaan terus berusaha sedaya upaya meningkatkan kualiti hidup rakyat meskipun mengakui tidak semua langkah yang dilaksanakan adalah sempurna sepenuhnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan ekonomi negara yang dicapai ketika ini bukan bertujuan memperkayakan mana-mana pemimpin atau menaikkan gaji mereka, sebaliknya bagi memastikan kebajikan rakyat dapat dibela.
Menurutnya, barisan menteri Kabinet masih berdepan potongan gaji sebanyak 20 peratus sebagai contoh bahawa jawatan tidak seharusnya dijadikan medium untuk memperkayakan diri dan keluarga.
"Sebab itu saya beritahu menteri-menteri, potongan gaji 20 peratus masih berjalan. Ini sebagai teladan bahawa bukan semua orang perlu kejar jawatan untuk kepentingan peribadi.
"Kita cuba lakukan sedaya upaya, kita perbaiki kelemahan. Kita tidak mendakwa semuanya sempurna, tetapi kita serius menyelesaikan masalah rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Galeri Arkeologi Guar Kepah di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam pada itu, Anwar turut menegur sikap segelintir pihak yang cuba menyalahkan kerajaan dalam setiap isu melibatkan rakyat, termasuk insiden seorang penduduk di Kepala Batas yang dilaporkan terputus bekalan beras seperti dibangkitkan seorang Ahli Parlimen baru-baru ini.
"Saya dengar ada orang kata di sini ada seorang tidak ada beras. Kita bagi SARA belilah beras.. kalau tak dak, dah ada elaun (Ahli Parlimen) bayarlah sikit, apa masalah dia takkan nak kena beritahu Perdana Menteri.
"Hang belilah dulu, kalau kot RM40 ribu, betullah minta bantuan tapi setakat RM20 takkan tak boleh bagi,"katanya lagi.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus mencari ikhtiar terbaik selaras dengan prinsip reformasi yang menekankan perubahan ke arah kebaikan, berteraskan nilai keadilan dan kesejahteraan rakyat.
Mengulas mengenai Galeri Arkeologi Guar Kepah, Anwar berkata, pembangunan berasaskan warisan dan arkeologi tidak bercanggah dengan agenda pertumbuhan ekonomi negara, malah berpotensi menjadi tarikan baharu dalam bidang penyelidikan, sejarah dan pelancongan sekiranya diurus secara bijaksana.
Menurutnya, kajian arkeologi juga tidak boleh dilihat secara terasing atau tertumpu kepada satu disiplin semata-mata, sebaliknya perlu disepadukan dengan pelbagai bidang ilmu termasuk sains, sejarah, ekologi, pelancongan dan perdagangan.