KOTA KINABALU – Datuk Seri Bung Moktar Radin dikenang sebagai seorang pemimpin yang sentiasa menekankan kebajikan pemain dan jurulatih Sabah FC tanpa mencampuri urusan teknikal pasukan tersebut.
Sikapnya yang memastikan kesejahteraan semua pihak dalam pasukan menjadikannya figura yang dihormati dan dicontohi oleh ramai.
Iklan
Iklan
Bekas ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkongsi pengalaman bekerja di bawah kepimpinan Bung Moktar ketika beliau sebagai Presiden persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan menghargai kepercayaannya terhadap pasukan.
"Ini membuktikan Datuk Bung tidak masuk campur dengan hal-hal yang lain, tetapi memastikan kebajikan pemain dan jurulatih ketika saya bersama Sabah, di mana beliau tetap memikirkan perkara yang terbaik untuk sesiapa yang berada dalam pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.
Beliau yang turut menziarahi jenazah bekas majikannya turut menceritakan pengalaman peribadinya bekerja bersama Allahyarham.
"Salah satu faktor kenapa saya kembali semula selepas bermain untuk Sabah, sudah tentu Allahyarham Datuk Bung membawa saya kembali ke Sabah untuk berkhidmat di bawah beliau dan bagi saya, beliau merupakan seorang penjuang, seorang pemimpin.
"Dari situ, saya mendapat satu talian (hubungan) yang cukup baik bersama Datuk Bung. Ini pasti merupakan satu kehilangan besar bukan saja rakyat Sabah tetapi dalam bidang bola sepak," katanya.