Pengawal keselamatan nafi tuduhan persetubuhan luar tabii

Iklan
Tertuduh (kiri) diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth pada Jumaat.

BUTTERWORTH - Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap kenalannya pada 29 November lalu.

Tertuduh, Mohamad Azuddin Sabran, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang lelaki berusia 57 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat sauna di Jalan Perai Jaya 4, Perai pada jam 7 malam, 29 November lalu.

Iklan

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Iklan

Ketika prosiding, Nurul Aini tidak menawarkan jaminan dengan alasan ia kesalahan yang tidak boleh dijamin serta merupakan kesalahan seksual.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh memohon budi bicara mahkamah supaya anak guamnya diberi jaminan bersyarat selain mengambil kira faktor tertuduh yang memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang siasatan.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 12 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan perubatan dan kimia.

Tertuduh antara 13 lelaki yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah pusat sauna yang dijadikan lokasi aktiviti hubungan songsang.

Pada 30 November lalu, Sinar Harian melaporkan seramai 13 lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang di sebuah premis perniagaan di Bandar Perai Jaya, Perai.

Daripada jumlah itu, antara yang ditangkap adalah warga emas dan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Difahamkan, ketika serbuan, beberapa lelaki berkenaan sedang melakukan aktiviti sauna dan hanya berpakaian dalam.

Pemeriksaan turut menemui kondom, minyak pelincir dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan tidak bermoral.