Beg pasir ditinggikan sebagai mitigasi sementara atasi hakisan pantai

Iklan
Hakisan pantai di Batu Ferringhi menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

GEORGE TOWN – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang sedang dalam proses pelantikan pihak berkaitan bagi melaksanakan langkah mitigasi jangka pendek dengan meninggikan beg pasir sebagai usaha mengekang masalah hakisan pantai yang semakin serius akibat fenomena ombak luar biasa tahun lalu.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, langkah tersebut diambil susulan dapatan menunjukkan ketinggian ombak pada tahun lalu adalah kira-kira dua kaki lebih tinggi daripada kebiasaan sekali gus menyebabkan beg pasir sedia ada tidak lagi berkesan sepenuhnya.

Iklan
Iklan

“Ini asas fizik. Bila paras air lebih tinggi daripada biasa, beg pasir memang boleh menahan pada tahap tertentu tetapi apabila ombak meningkat dua kaki, air akan melimpah ke belakang dan menolak sandbag keluar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Penang Nature-Based Climate Adaption Award di sini pada Selasa.

Menurut beliau, situasi itu menjadi punca utama hakisan pantai yang lebih teruk berlaku pada tahun ini berpunca daripada kesan ombak luar biasa pada tahun sebelumnya berdasarkan dapatan sistem pemantauan JPS.

Iklan

“Masalah yang kita hadapi tahun lepas ialah ombak jauh lebih tinggi daripada biasa.

"Ini faktor iklim dan bukan sesuatu yang boleh kita kawal. Ada tahun pasang surut lebih tinggi, ada tahun lebih rendah,” jelasnya.

Iklan

Sehubungan itu, Zairil berkata, mitigasi jangka pendek akan dilaksanakan dengan beg pasir yang ditinggikan bagi memastikan ia mampu menahan ombak walaupun berlaku peningkatan paras air.

“Kalau ombak naik dua kaki lagi pun, kita harap ia tidak akan menghakis pantai dengan mudah.

"Ketinggian beg pasir ini akan ditentukan oleh pihak teknikal JPS,” katanya.

Beliau menjelaskan, langkah mitigasi jangka pendek tersebut lazimnya mampu bertahan sekitar setahun namun pihaknya berharap ia dapat bertahan lebih lama dengan penambahbaikan yang dibuat.

Dalam pada itu, Zairil berkata, JPS kini sedang mereka bentuk pelan mitigasi jangka panjang sebagai penyelesaian kekal terhadap masalah hakisan di kawasan berkenaan.

“Pantai di sekitar Hotel Park Royal sebelum ini telah melalui projek mitigasi dan keadaannya kini sangat baik.

"Jadi pendekatan yang sama akan dilaksanakan di kawasan Hotel Rasa Sayang,” ujarnya.

Menurut beliau, projek mitigasi jangka panjang itu melibatkan sepanjang kira-kira tiga kilometer dan dijangka menjadi penyelesaian kekal apabila siap sepenuhnya.

“Ia memang memerlukan kos yang besar, namun ia telah diluluskan dalam bajet sebanyak RM60 juta, melibatkan kawasan Hotel Rasa Sayang dan Pantai Moonlight Bay,” katanya.

"Reka bentuk akhir projek tersebut masih dalam peringkat perincian dan beberapa kaedah sedang dipertimbangkan.

“Antara opsyen yang ada termasuk 'outfall', 'wave breaker' dan juga 'beach nourishment'. Namun reka bentuk muktamad perlu menunggu JPS menyiapkannya,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai masalah hakisan pantai di kawasan Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah yang semakin serius.

 

<