SUNGAI PETANI - Secara lazimnya, Tahun Baharu Cina disambut masyarakat Tionghua di seluruh dunia, namun uniknya di Malaysia, pelbagai golongan turut merasai kemeriahnya.
Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Pulau Pinang, Tan Sri Fng Ah Seng berkata, sebagai rakyat Malaysia yang mahu mengekalkan keharmonian negara, menjadi tanggungjawab agar semua lapisan berkongsi kegembiran biarpun terdapat perbezaan fahaman dan kepercayaan.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng berkata, pemberian buah limau semasa Tahun Baharu Cina pula melambangkan tuah, kekayaan dan kemakmuran selain simbolik membalas budi serta kebaikan penerima.
"Bagaimanapun, dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia, limau dijadikan pemberian sebagai tanda berkongsi kegembiran tanpa mengira sempadan kaum dan agama," katanya ketika mengagihkan 1,060 kotak limau kepada askar wataniah, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Setiausaha JAKPAW Pulau Pinang, Leftenan Kolonel (K) Datuk Yaacob Md Saad.
Menurut Fng Ah Seng, pemberian limau kepada askar wataniah juga dilihat sebagai tanda silaturahim dan perpaduan antara satu sama lain.
"Rakyat Malaysia tak kira Deepavali, Aidilfitri atau Tahun Baharu Cina, kita meraikan masyarakat berbilang kaum...semua berhak nikmati," katanya.
Jelas beliau, pengagihan limau membabitkan anggota Rejimen 509 Askar Wataniah, Rejimen 504 Askar Wataniah, Batalion ke 2 Rejimen Askar Melayu Diraja, Markas 6 Briged Infantri Malaysia dan Markas 2 Divisyen Infantri Malaysia.
Dalam masa sama, beliau berkata, agihan bertujuan meraikan dan merapatkan hubungan antara Tentera Darat Malaysia dan JAKPAW Pulau Pinang.