Kripto selamat jika faham risiko

Iklan
Antara kripto paling popular termasuk Bitcoin, Ethereum dan Solana yang sering menjadi pilihan pelabur digital.

PELABURAN wang kripto semakin mendapat perhatian sebagai alternatif digital kepada sistem kewangan tradisional berasaskan teknologi rantaian blok yang membolehkan transaksi dilakukan tanpa perantara seperti bank.

Antara kripto paling popular termasuk Bitcoin, Ethereum dan Solana yang sering menjadi pilihan pelabur digital kerana potensi pulangan tinggi namun turut berdepan risiko kerugian mendadak akibat turun naik harga yang ekstrem.

Iklan
Iklan

Secara umumnya, tiada satu badan bebas yang mengawal selia keseluruhan pasaran mata wang kripto di peringkat global kerana sistemnya bersifat desentralisasi dan tidak dikendalikan secara langsung oleh kerajaan atau bank pusat.

Ekosistem kripto digerakkan oleh beberapa elemen utama seperti bursa atau exchange yang menjadi platform jual beli, penjaga aset digital yang menyimpan kunci peribadi pengguna, komuniti pembangun yang menambah baik protokol aset digital serta pelabur besar yang mampu mempengaruhi harga pasaran.

Iklan

Di Malaysia, pelaburan kripto semakin berkembang apabila ramai pelabur individu termasuk golongan muda dan peniaga dalam talian melihatnya sebagai peluang baharu untuk mempelbagaikan aset.

Bagi memastikan aktiviti itu dijalankan secara sah dan berlandaskan peraturan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengawal selia sektor aset digital melalui tiga kategori utama pengendali iaitu Pertukaran Aset Digital (DAX), Tawaran Pertukaran Awal (IEO) dan Penjaga Aset Digital (DAC).

Iklan

Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam, Profesor Dr Amirul Afif Muhamat berkata, tahap keselamatan dalam pelaburan kripto bergantung sepenuhnya kepada pemahaman, disiplin serta saluran pelaburan digunakan oleh individu.

“Dalam konteks Malaysia, mata wang kripto diklasifikasikan sebagai aset pelaburan digital yang sah dan diperakui oleh SC. Malah, terdapat juga beberapa mata wang kripto yang dikategorikan sebagai patuh Syariah seperti Bitcoin, Ethereum dan Ripple.

“Kripto boleh dianggap selamat sekiranya pelabur berdagang di platform berlesen di bawah SC, memahami risiko turun naik harga yang mendadak dalam pasaran serta tidak terlibat dalam aktiviti spekulatif melampau,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau yang juga Ketua Kumpulan Penyelidikan (RIG) Risiko Iklim dan Kewangan Lestari berkata, pelabur perlu memahami tahap risiko yang diambil khususnya berkaitan turun naik harga mata wang kripto yang tinggi dan berlaku dalam tempoh singkat.

“Biarpun pelaburan mata wang kripto menggunakan teknologi rantaian blok yang diiktiraf ramai sebagai selamat, namun risiko ancaman siber masih wujud dalam bentuk pancingan data. Oleh itu, pelaburan mestilah dilakukan menerusi agensi yang diberikan lesen oleh pihak berkuasa.

“Jika dilihat daripada kriteria pelaburan pula, mata wang kripto mempunyai potensi keuntungan jangka panjang baik serta menawarkan tahap ketelusan lebih tinggi berbanding instrumen konvensional kerana semua transaksi direkodkan di rantaian blok yang boleh diakses umum.

“Emas masih merupakan aset pelaburan kalis inflasi yang lebih kukuh dan turut digunakan oleh bank-bank pusat di seluruh dunia. Secara umumnya, pelaburan tradisional lebih stabil berbanding mata wang kripto yang boleh mencatat perbezaan harga antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh beberapa hari.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Taha Mohd Omar berkata, kripto bukan pelaburan sesuai untuk semua individu namun boleh dijadikan pelengkap portfolio pelaburan sedia ada sekiranya diurus dengan disiplin.

“Kawal selia di Malaysia kini semakin matang namun tanggungjawab untuk fahami risiko terletak sepenuhnya pada pelabur.

“Bagi pelabur baharu, kripto wajar dijadikan sebahagian kecil dalam portfolio yang sihat terutamanya sebagai pendedahan kepada teknologi masa hadapan,” ujarnya.