Hujan lebat di Lembah Klang, beberapa laluan lumpuh seketika

Iklan
Jalan Tun Razak sekitar Hospital Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Pekeliling - Foto FB

KUALA LUMPUR – Hujan lebat berterusan sejak petang Khamis mengakibatkan beberapa kawasan di ibu negara dilanda banjir kilat, dengan pengguna media sosial berkongsi keadaan jalan yang mula ditenggelami air serta paras sungai yang meningkat mendadak.

Antara lokasi paling terjejas ialah laluan dari Jalan Tun Razak menuju ke WTC Kuala Lumpur yang dilaporkan dinaiki air setinggi paras pinggang, menyebabkan kenderaan terperangkap dan trafik bergerak perlahan.

Iklan
Iklan

Beberapa video dan foto dimuat naik oleh penduduk menunjukkan arus deras melimpah dari sistem saliran berhampiran.

Beberapa kawasan pusat bandar lain turut menerima kesan selepas Sungai Klang dilaporkan melimpah, sekali gus menyebabkan laluan berhampiran tebing sungai dan kawasan rendah ditenggelami air.

Iklan

Situasi sama turut dilaporkan di sekitar Petaling Jaya, Bangsar, Gombak, Batu Caves dan Kajang selepas hujan lebat disertai kilat serta guruh sejak lewat petang.

Perkongsian di media sosial menunjukkan ramai pengguna yang terperangkap di jalan raya memaklumkan hujan lebat bermula seawal jam 4 petang sebelum bertambah buruk menjelang waktu Maghrib.

Iklan

Ada yang menyifatkan keadaan sebagai 'langsung tak nampak jalan' manakala beberapa penduduk melaporkan longkang besar di kawasan perumahan melimpah air sesuatu yang jarang berlaku.

Pada masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa sebanyak 370 petugas telah dikerahkan bagi memantau 15 kawasan hotspot banjir di seluruh bandar raya susulan amaran cuaca yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Tinjauan awal menunjukkan beberapa lokasi berisiko tinggi mula mencatat paras air yang meningkat.

Sementara itu, pihak berkuasa turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan penyebaran beberapa video banjir yang tular tetapi disahkan sebagai suntingan atau dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Orang ramai digesa merujuk kepada sumber rasmi dan laporan media yang sahih bagi mengelakkan kekeliruan.

Keadaan cuaca masih tidak menentu malam ini, dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan dan ribut petir berpotensi berterusan dalam tempoh beberapa jam, khususnya di kawasan Lembah Klang.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan laluan rendah, berhati-hati ketika memandu dan mengikuti maklumat terkini daripada MetMalaysia, DBKL serta agensi keselamatan.