Albert Tei persoal tindakan SPRM serbu rumah, dakwa ditahan seperti penjenayah berbahaya

Iklan
Albert bercakap kepada pemberita ketika sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. Foto: Rosli Talib

KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan, Albert Tei mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya selepas mendakwa dirinya ditahan seperti penjenayah berbahaya, Jumaat lalu.

Beliau mendakwa kaedah serbuan terhadapnya menimbulkan persoalan besar mengenai prosedur operasi standard (SOP) agensi berkenaan.

Iklan
Iklan

Dakwanya dirinya tidak tahu apa yang berlaku di luar sana kerana tidak mengikuti perkembangan di media sosial.

Dakwanya lagi apa yang dinyatakan adalah berdasarkan fakta kerana selama beberapa hari dirinya telah diasingkan daripada dunia luar.

Iklan

"Saya turun buka pintu, belum sempat saya buat apa-apa, seorang pegawai yang pakai topeng acukan pistol kepada saya.

"Dia jerit suruh buka pintu sedangkan pintu tersangkut pada safety lock. Bila saya lihat matanya, saya percaya dia nak tembak saya," dakwanya ketika sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Iklan

Albert mendakwa, beberapa pegawai lain turut mengacukan pistol sebelum menahannya dalam keadaan baring dan mengikat kedua-dua tangannya menggunakan pengikat kabel.

"Isteri dan anak-anak saya yang tak tahu apa-apa dipaksa duduk di ruang tamu, mereka panik. Apa kesalahan saya sampai diperlakukan sedemikian.

"Saya diperlakukan seperti itu dihadapan keluarga saya, seolah-oleh saya ini seperti penjenayah berbahaya," katanya.

Beliau mendakwa, dekoder rakaman kamera rumahnya turut diambil ketika serbuan.

"Pegawai SPRM terlibat turut meminta isteri saya memadam satu rakaman video yang merakamkan kejadian tersebut.

"Saya ulang, kalau CCTV (kamera litar tertutup) saya hilang atau rosak, saya akan tuntut SPRM sampai lubang cacing. Apa kaitan siasatan notis dengan ambil CCTV saya," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan SPRM menafikan dakwaan kononnya pegawai agensi itu mengacukan senjata api di kepala ahli perniagaanitu ketika melakukan tangkapan terhadap individu berkenaan pada Jumaat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, proses tangkapan yang dilakukan di rumah ahli perniagaan itu dijalankan mengikut SOP ditetapkan.

Ujar beliau, SPRM turut membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap dakwaan berunsur fitnah yang disebarkan.

Media sebelum ini melaporkan, agensi pencegahan rasuah itu menyerbu kediaman Albert di Puchong, Selangor menggunakan waran pada pagi Jumaat.

Peguam ahli perniagaan itu, Mahajoth Singh menyifatkan tindakan itu sebagai satu pencerobohan kerana tarikh untuk merekodkan keterangan Albert telah ditetapkan.