KETIKA Axiata hampir memuktamadkan penjualan sebahagian pegangan dalam anak syarikat menara telekomunikasi, Edotco Group Sdn Bhd, beberapa penganalisis industri meramalkan fokus utama transaksi kini telah berganjak jauh daripada soal harga dan pembida.
Perbincangan kini tertumpu kepada aspek regulasi, keselamatan negara, tadbir urus jangka panjang dan kesan penstrukturan terhadap masa depan infrastruktur digital Malaysia.
Menurut pakar telekomunikasi, penjualan aset ini tidak lagi dilihat sebagai transaksi komersial sebaliknya, ia kini menjadi ujian penting kepada bagaimana Malaysia akan melindungi aset kritikal negara di zaman peralihan ke era kecerdasan buatan (AI) dan pemprosesan data dipinggir rangkaian.
Regulasi di Malaysia yang mensyaratkan sekurang-kurangnya 51 peratus pemilikan tempatan bagi Penyedia Kemudahan Rangkaian (NFP) dianggap sebagai penanda jelas tentang betapa strategiknya infrastruktur telekomunikasi negara.
Menurut sumber yang rapat dengan perbincangan polisi, mengekalkan majoriti pemilikan Malaysia bukanlah pilihan kosmetik.
Ia bertujuan memastikan keputusan penting, terutamanya ketika krisis keselamatan, bencana alam atau ketegangan geopolitik kekal dalam kawalan ekosistem tempatan.
Menara telekomunikasi, rangkaian optic serabut, sel kecil dan nod-pinggiran kini adalah sebahagian daripada rangkaian yang menyokong sistem kecemasan, infrastruktur kerajaan, aplikasi industri dan operasi perusahaan.
AI dan densifikasi 5G jadikan tadbir urus lebih rumit
Malaysia kini memasuki fasa baharu 5G dan bakal bergerak ke 5.5G dan 6G. Kesemua teknologi ini bergantung kepada rangkaian menara, nod pemprosesan pinggiran, sistem kuasa pintar serta perkakasan yang semakin kompleks.
Menurut penganalisis telekom serantau, apabila pemprosesan data berpindah lebih dekat kepada pengguna daripada pusat data ke menara dan nod-nod telekomuniksi, keperluan terhadap ketelusan perkakasan, integriti rantaian bekalan dan audit keselamatan meningkat dengan mendadak.
“Menara bukan lagi aset pasif,” katanya. “Ia kini menjadi sebahagian daripada lapisan pemprosesan data negara. Apabila AI bergerak ke pinggiran rangkaian, risiko keselamatan turut meningkat berlipat kali ganda.”
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penyertaan asing dalam aset strategik negara termasuk sektor tenaga, pelabuhan dan lapangan terbang telah mencetuskan kebimbangan awam.
Menurut pemerhati dasar awam, menara telekomunikasi kini berada dalam kategori yang sama. Sentimen awam kini mengaitkan pemilikan infrastruktur digital dengan isu kedaulatan, perlindungan data dan keselamatan negara.
Justeru, sebarang penjualan saham yang melibatkan pelabur asing dijangka akan menarik perhatian media, ahli politik dan kumpulan masyarakat sivil.
Entiti pelaburan berkaitan kerajaan (GLICs) turut difahamkan sedang memantau proses ini bagi memastikan hasilnya selari dengan kepentingan jangka panjang Malaysia.
Risiko baharu dalam keselamatan negara
Selain isu pemilikan, faktor yang semakin diutamakan badan pengawal selia telekomunikasi ialah risiko perkakasan meliputi unit pemancar, antena, sistem tenaga, modul transmisi dan komponen rangkaian lain yang dipasang di menara telekomunikasi, sel kecil serta nod-pinggiran.
Ketegangan geopolitik, sekatan vendor antarabangsa dan kebimbangan global terhadap peralatan telekomunikasi kini mendorong banyak negara mengetatkan pemilihan pembekal dan keperluan audit perkakasan rangkaian.
Malaysia dijangka mengambil pendekatan serupa, terutama apabila negara memperluas penggunaan sistem berasaskan AI dan perkhidmatan awan.
Walaupun nilai transaksi kekal penting, dianggarkan melebihi AS$2 bilion penganalisis percaya keputusan akhir akan lebih menekankan keupayaan pembida untuk:
- Mengekalkan tadbir urus berdaulat.
- Memastikan ketelusan perkakasan rangkaian.
- Mematuhi piawaian keselamatan yang lebih ketat.
- Menyokong matlamat strategik infrastruktur digital Malaysia.
“Ini bukan soal siapa yang membida pada harga yang paling tinggi,” kata seorang pakar industri. Ia adalah persoalan siapa yang mampu mengendalikan infrastruktur yang menjadi akar tunjang ekonomi digital Malaysia dalam era AI.”
Ketika proses ini memasuki fasa terakhir, pemerhati pasaran percaya penjualan Edotco akan menjadi penanda aras baharu bagi cara Malaysia mengimbangi pelaburan asing, kedaulatan negara dan keselamatan infrastruktur digital dalam dekad akan datang.