Ringgit terus mengukuh susulan keputusan Mahkamah AS terhadap Trump

Iklan
Keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar dasar tarif Trump telah mempengaruhi prestasi ringgit. Gambar hiasan

MOMENTUM pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berterusan sehingga akhir urus niaga Isnin, bertahan pada paras 3.88 susulan tindakan Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar dasar tarif Presiden Donald Trump pada Jumaat lepas.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh pada 3.8885/8925 berbanding dolar AS berbanding paras penutup Jumaat lepas pada 3.8995/9055.

Iklan
Iklan

Sewaktu sesi awal hari ini, ringgit mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada 3.8835/9065 yang kali terakhir dicatatkan pada 2 Feb, 2018.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit terbukti mengekalkan prestasi kukuh susulan perkembangan terbaharu membabitkan dasar tarif AS.

Iklan

"Perkembangan itu adalah sesuatu yang melegakan bagi ekonomi global walaupun (pada masa sama) pentadbiran Trump terus mempertahankan pendirian berkaitan dasar perlindungannya,” katanya kepada Bernama.

Mata wang AS$/MYR pada masa ini bergerak dalam julat pada tahap sokongan teknikal pada RM3.8722 selepas berjaya melepasi paras psikologi pada RM3.9000 berbanding dolar AS.

Iklan

Pada 20 Februari, 2026, Mahkamah Agung AS membuat keputusan mengetepikan tarif berasaskan Akta Kuasa Darurat Ekonomi Antarabangsa (IEEPA) Trump, termasuk tarif timbal balas yang dilaksanakannya.

Trump kemudiannya mengumumkan rancangan menaikkan tarif global kepada 15 peratus daripada 10 peratus pada Sabtu susulan keputusan mahkamah yang membatalkan sebahagia besar daripada langkah perdagangan sebelum ini.

Selain itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama pada akhir urus niaga hari ini, termasuk rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5120/5147 daripada 2.5092/5132.

Berbanding euro, ringgit susut nilai kepada 4.5888/5935 daripada 4.5882/5952 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.2526/2580 daripada 5.2511/2591 sebelum ini.

Prestasi ringgit juga rendah berbanding mata wang negara anggota ASEAN.

Ringgit susut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.0727/0761 daripada 3.0724/0774 sebelum ini, rendah berbanding baht Thailand kepada 12.5342/5532 daripada 12.4952/5216, merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 231.4/231.7 daripada 230.8/231.3 dan turun berbanding peso Filipina kepada 6.75/6.76 daripada 6.70/6.72 sebelum ini. - Bernama