PADA 20 Februari yang lalu, Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) telah memutuskan bahawa tindakan Presiden Trump untuk mengenakan tarif import di bawah akta International Emergency Economic Powers Act atau IEEPA adalah tidak sah.
Hujah mahkamah tersebut adalah Trump telah melebihi kuasanya sebagai ketua negara. Meskipun demikian, Trump dilihat tidak mahu mengalah dan akan terus menggunakan saluran lain bagi memenuhi objektif dasar ekonomi pentadbiran beliau.
Tujuan utama tarif import ini dilaksanakan adalah bagi mengurangkan defisit imbangan dagangan yang mana negara AS dilihat sentiasa mencatatkan import yang melebihi eksport.
Dengan kata mudah, negara AS dikatakan banyak membeli daripada menjual dengan negara luar. Justeru, situasi ini dianggap sebagai suatu ketidakadilan dan instrumen dasar seperti tarif import ini dilihat jalan penyelesaian kepada ketidak adilan yang berlaku. Ternyata dasar yang dilihat populis ini telah mendapat tentangan daripada institusi kenegaraan di AS.
Berdasarkan data terkini, pertumbuhan import bagi negara AS terus mencatatkan penguncupan bermula dari bulan Ogos 2025 iaitu negatif 2.3 peratus sehinggalah pada bulan Disember 2025 iaitu 2.6 peratus.
Perkara ini sekaligus menyumbang kepada penguncupan defisit dalam imbangan dagangan daripada AS$573 bilion pada separuh tahun pertama 2025 kepada AS$329 bilion pada separuh tahun kedua 2025. Apa yang dapat disimpulkan, dasar ini mula menunjukkan kesan yang mahu dicapai. Namun, persoalan seterusnya, adakah dasar ini baik untuk ekonomi AS?
Buat masa ini, sentimen di kalangan pengguna dan perniagaan terus lemah. Sebagai contoh, indeks keyakinan pengguna yang diterbitkan oleh Conference Board terus menurun dari 105.3 mata pada bulan Januari 2025 kepada 84.5 mata pada bulan Januari 2026.
Begitu juga dengan data sentimen peniaga dalam sektor pembuatan yang dikeluarkan oleh Institute of Supply Management (ISM) yang mana rata-rata bacaannya adalah di bawah paras 50 mata di sepanjang tahun 2025.
Bacaan di bawah paras 50 mata menandakan banyak peniaga-peniaga yang berasa pesimistik berikutan peningkatan kos perniagaan akibat daripada tarif import yang perlu dibayar kepada kerajaan AS.
Sentimen yang lemah ini telah menbawa kepada pertumbuhan ekonomi AS yang lebih perlahan pada suku keempat 2025 iaitu 1.4 peratus berbanding 4.4 peratus pada tempoh sebelumnya.
Begitu juga dengan kadar inflasi iaitu 2.4 peratus pada bulan Januari 2026 yang masih lagi tinggi berbanding sasaran Fed iaitu 2.0 peratus. Oleh itu, semenjak dasar tarif ini diperkenalkan pertumbuhan ekonomi mula perlahan dan inflasi yang sukar untuk diturunkan.
Oleh itu, campur tangan badan kehakiman ini jelas menunjukkan bahawa pemisahan kuasa di AS masih lagi berfungsi dan bersifat melindungi kepentingan rakyat dan komuniti perniagaan.
Pengajarannya adalah ekosistem perekonomian itu perlu sentiasa dipelihara agar pasaran ekonomi yang cekap, adil dan telus dapat dilaksanakan. Badan eksekutif yang dipelopori oleh ahli-ahli politik sememangya perlu dipantau melalui mekanisme semak dan imbang agar keputusan dan perlaksanaan dasar sentiasa diimbangi dengan lebih rasional dan bertanggungjawab.
Situasi ini boleh dianggap sesuatu yang universal yang mana ianya diboleh diapplikasikan di mana-mana sahaja. Konteks ini adalah relevan bagi negara kita yang tercinta apabila mutakhir ini terdapat laporan yang kurang enak untuk didengar.
Jika tidak ditangani dengan bijak ia boleh mencalar imej institusi-institusi negara kita yang seharusnya menjadi pelindung kepada rakyat.
*Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad