PORT DICKSON – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih menunggu arahan rasmi daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung misi pengaman ke Gaza.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, pihaknya telah berada pada tahap kesiapsiagaan untuk diaturgerakkan ke sana bagi melaksanakan misi terbabit.
“Setakat ini, secara tidak rasmi, kita dimaklumkan bahawa misi itu akan diteruskan, tetapi kita belum menerima apa-apa makluman rasmi sehingga kini.
“Bagaimanapun, kita telah menyediakan dua pilihan berkaitan bentuk tugasan yang akan diaturgerakkan ke Gaza nanti, termasuk aspek logistik, kejuruteraan dan perubatan.
“Kami telah bersiap sedia untuk diaturgerakkan dan kini hanya menunggu keputusan PBB mengenai pilihan mana yang akan ditetapkan bagi penugasan ketenteraan Malaysia kelak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Pasukan Malaysian Batalion (MALBATT) 850-12 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini pada Khamis.
Sementara itu, beliau berkata pasukan MALBATT 850-13 yang merupakan kontinjen terakhir Malaysia di Lubnan akan membantu melatih tentera negara itu sebelum pengunduran penuh yang dijangka pada Disember tahun hadapan.
Jelasnya, ia bagi membolehkan mereka mengambil alih sepenuhnya penugasan yang selama ini digalas oleh pasukan Malaysia sejak 2007.
“Salah satu daripada tanggungjawab kita adalah untuk melatih Angkatan Tentera Lubnan (LAF) sementara kita hendak menyerahkan kawasan dan tugas kepada mereka.
“Kita juga akan meninggalkan sebahagian daripada peralatan atau ‘capital item’ untuk dihadiahkan kepada kerajaan Lubnan,” katanya.
Beliau berkata, kem Malaysia di Tibnin dan Haris dijadualkan dikosongkan serta semua anggota akan dikumpulkan di Marakah untuk proses serah tugas kepada LAF.
“Kita sedang meneliti aset apa yang wajar ditinggalkan dan memandangkan banyak briged baharu yang baru ditubuhkan di kawasan tersebut, kita akan melatih mereka untuk interaksi serta menggunakan peralatan yang mungkin kita tinggalkan,” katanya.