Kematian pelatih PALAPES: Jangan takut hantar anak jalani latihan ketenteraan

Iklan
Mohd Nizam (depan, lima dari kiri) selepas majlis Penganugerahan pingat PNBB dan Pembubaran MALBATT 850-12 di Padang Kawad PUSASDA di Port Dickson pada Khamis.

PORT DICKSON - [DIKEMAS KINI] Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan bahawa ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak mereka menjalani latihan ketenteraan susulan kematian Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin yang kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, sepanjang perkhidmatannya, kes-kes salah laku ketika latihan merupakan kes terpencil dan tidak menggambarkan keseluruhan budaya dalam pasukan.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah setelah 41 tahun dalam perkhidmatan, saya boleh katakan ini sebagai kes terpencil, di mana kesalahan sebenarnya kita tidak pasti.

"Jadi, ATM bukan sesuatu yang menakutkan, tapi adalah sesuatu langkah untuk sebahagian daripada pengorbanan kepada negara. Saya juga seorang bapa, jadi tidak perlu merasa takut seperti itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Pasukan Malaysian Batalion (MALBATT )850-12 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengarahkan kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

AGC berkata, keputusan itu dibuat selepas polis membentangkan hasil laporan siasatan kematian Allahyarham dalam sesi taklimat pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata, pihaknya menentang sekeras-kerasnya perbuatan buli, namun mengakui ada sesetengah latihan yang dilihat agak keras oleh mata kasar rakyat.

Namun katanya, latihan seumpama itu dilaksanakan bertujuan membentuk pembangunan karektor setiap anggota.

"Buli memang bukan dalam wadah kami, sesuatu yang kami menentang. Tapi latihan-latihan yang keras kami lakukan daripada yang biasa itu adalah untuk pembangunan karakter, tetapi bukan kepada membuli.

"Latihan kami lebih menjurus bagaimana nak membentuk keperibadian dan ketahanan yang sepatutnya sebagai seorang wira dan wirawati negara," katanya.

Beliau turut mengulangi yang ATM akan memberi kerjasama secara telus dan sebaik mungkin untuk membantu proses siasatan yang akan dilaksanakan.

Pada masa sama ujar beliau, prosedur operasi standard latihan (SOP) turut dilihat semula, namun pihaknya mendapati tiada sebarang kekurangan.

Sementara itu, ditanya tindakan terhadap anggota yang didapati terlibat dalam perbuatan songsang, beliau menjelaskan bahawa setiap daripada mereka bukan saja tertakluk kepada undang-undang tentera tetapi juga undang-undang awam.

“Apa-apa kesalahan di bawah undang-undang awam juga adalah kesalahan dalam undang-undang tentera.

"Kami mempunyai kod etika yang wajib dipatuhi. Jika melanggar, itu bermakna mereka menyalahi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.