Daging itik, babi dan biji kopi lebih RM900,000 dirampas

Iklan
Antara barang yang dirampas selepas didapati tidak mematuhi peruntukan permit import dan pensijilan ditetapkan pihak berkuasa.

PELABUHAN KLANG – Cubaan membawa masuk daging haiwan dan hasil pertanian tanpa mematuhi syarat import berjaya dipatahkan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menerusi rampasan tiga barangan bernilai lebih RM900,000 di Pelabuhan Klang Barat di sini pada Rabu.

Ia melibatkan daging itik sejuk beku, daging babi sejuk beku serta biji kopi yang didapati tidak mematuhi peruntukan permit import dan pensijilan ditetapkan pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemeriksaan dilakukan sepasukan AKPS ke atas beberapa kontena dagangan di Tapak Pemeriksaan Kontena CFS4.

Menurutnya, hasil pemeriksaan fizikal itu mendapati tiga barangan tidak mematuhi syarat serta peruntukan undang-undang sedia ada.

Iklan

"Pemeriksaan kira-kira jam 11.45 pagi mendapati konsainan daging itik sejuk beku dari Ireland diimport tanpa permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang sah.

"Jumlah berat rampasan adalah 16,161.28 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM354,176.26,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Katanya, pemeriksaan berasingan kira-kira jam 11.30 pagi pula mendapati daging babi sejuk beku dari Belgium tidak mematuhi syarat permit import MAQIS.

"Rampasan melibatkan 24,958.10kg dengan anggaran nilai RM461,371.43,” katanya.

Nik Ezanee berkata, pemeriksaan turut mengesan biji kopi dari Colombia yang diimport tanpa Perakuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 3P seperti ditetapkan di bawah undang-undang berkaitan.

"Rampasan melibatkan 3,500kg biji kopi dengan nilai dianggarkan RM100,608.33.

"Kesemua dagangan terbabit telah disita bagi mencegah risiko kemasukan penyakit haiwan serta memastikan aspek keselamatan makanan dan kesihatan awam negara terus terpelihara," katanya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Secara keseluruhan rampasan melibatkan 44,619.38kg dagangan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM916,156.02.

"AKPS Pelabuhan Klang akan terus komited membanteras kemasukan barangan larangan dan dagangan yang tidak mematuhi peraturan," katanya.

Tegasnya, usaha tersebut penting bagi menjamin keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan negara.