SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, menetapkan 3 Mac depan untuk pengurusan kes, bagi rayuan ibu Zayn Rayyan Abdul Matin terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, tiga tahun lalu.
Peguam, Lavanesh Haresh yang mewakili Ismanira Abdul Manaf, 31, berkata, mahkamah menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes di hadapan, Penolong Kanan Pendaftar, Nadiah Misman.
“Pihak-pihak yang terlibat telah dimaklumkan bahawa, rekod rayuan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, telah tersedia.
“Mahkamah juga akan menetapkan tarikh lain untuk pendengaran rayuan bagi memfailkan hujahan dan perkara lain dalam prosiding akan datang,” katanya selepas prosiding.
Sementara itu, beliau berkata, Ismanira tidak sabar untuk mendengar rayuan kes berkenaan, agar dapat membersihkan namanya dan kembali bersama keluarga dan anak kedua yang kini berusia tujuh tahun.
“Difahamkan anaknya sering menangis dan bertanya keberadaan ibunya selepas dia pulang ke pangkuan keluarga, pada November tahun lalu,” katanya.
Sebelum ini, Ismanira memfailkan notis rayuan menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co selepas tidak berpuas hati terhadap sabitan dan keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Dr Syahliza Warnoh pada 31 Oktober 2025.
Syahliza membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan memerintahkan Ismanira menjalani hukuman penjara serta-merta selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.
Ismanira turut diarah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Pada 23 Disember 2025, harapan Ismanira pulang ke pangkuan keluarga tidak kesampaian apabila Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin menolak permohonannya, untuk menangguhkan hukuman penjara selama lima tahun atas tuduhan berkenaan.
Ibu Zayn Rayyan kekal dipenjara hingga rayuan terhadap sabitan bersalah dan hukuman itu selesai.