SUNGAI PETANI – Seorang jurukimpal warga India didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa kebenaran sah di sebuah kilang di Bedong pada bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Haseen, 38, bagaimanapun tidak memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim menyebabkan mahkamah mengarahkan seorang jurubahasa Hindi dilantik bagi membantu tertuduh dalam prosiding akan datang.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol jenama Sig Sauer berwarna hitam tanpa kelulusan sah di pejabat sebuah kilang di Jalan Semeling, Bedong, kira-kira jam 6.45 petang pada 13 November lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 7 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Alex Pang Tak Fatt, manakala tertuduh diwakili peguam Savinder Singh.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan lelaki berkenaan selepas menemui kelopak peluru dan dua butir peluru dalam serbuan di asrama sebuah kilang memproses mi dan kuey teow di Jalan Semeling, Bedong, pada 11 November lalu.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, pemeriksaan dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kira-kira jam 12.45 tengah malam menemui kotak biru berisi kelopak peluru dan peluru di dalam bilik asrama tertuduh.