Hentikan rantaian gelap CSAM, lindungi kanak-kanak 

Iklan

SHAH ALAM - Penyebaran bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) yang wujud dalam bentuk imej yang diubah suai, rakaman paksa dan bahan yang dikongsi melalui akaun persendirian atau kumpulan terhad merupakan isu yang paling serius melibatkan golongan bawah umur.

Dapatan kebangsaan menunjukkan bahawa penghasilan dan pengedaran CSAM itu berlaku dalam skala besar dengan cara yang semakin sukar dikesan termasuk melalui akaun tanpa identiti, rangkaian tertutup serta mekanisme pembayaran tanpa tunai, sekali gus menjadikan perlindungan kanak-kanak sebagai agenda nasional yang tidak boleh ditangguhkan lagi.

Iklan
Iklan

Operasi yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam tempoh lapan hari bermula 23 September lalu mendedahkan penemuan kepada pemulihan lebih 880,000 fail berkaitan CSAM dengan menahan 31 individu di 37 lokasi berasingan seluruh negara.

Siasatan turut mengesahkan penggunaan perkhidmatan pemesejan, platform sosial serta saluran web gelap dengan transaksi dijalankan melalui sistem pembayaran tanpa tunai.

Iklan

Dan lebih membimbangkan, penglibatan golongan remaja turut dikesan sekali gus menzahirkan pendedahan awal kepada persekitaran berisiko tinggi.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Muhamad Fazil Ahmad berkata, taktik penyebaran CSAM semakin kompleks dan terselindung berikutan pelakunya memanfaatkan teknik pengubahsuaian imej serta memanipulasi berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan imej baharu yang sukar dikesan oleh sistem automatik.

Iklan

Menurut beliau, akaun tanpa identiti, nombor maya dan pembayaran digital atau kripto pula menjadikan pengedaran CSAM lebih licik serta sukar dijejaki.

"Inilah sebabnya pengesanan awal amat penting; kandungan CSAM membawa 'kesan dua kali' yang mana ia mencederakan mental mangsa ketika dirakam, kemudian mencederakan mereka sekali lagi setiap kali ia disebarkan semula.

"Penyisihan segera dan sekatan awal dapat mematahkan rantaian penyebaran, mengelakkan ia digandakan dalam rangkaian lain, dan melemahkan operasi pelaku yang semakin canggih," kata ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Usaha kerajaan had minimum 16 tahun tepat

Pakar komunikasi dan literasi digital itu berkata, langkah itu bertepatan dalam konteks keselamatan digital negara selari dengan kajian tingkah laku global.

"Kanak-kanak bawah usia 16 tahun merupakan kumpulan paling terdedah kerana mereka masih membina kematangan psikososial, mudah dipengaruhi, tidak mampu mengenal pasti taktik pemangsa yang menyamar sebagai rakan sebaya, serta lebih cenderung berkongsi maklumat peribadi atau imej sensitif.

"Majoriti kes pengantunan kanak-kanak (child grooming) dan eksploitasi awal di seluruh dunia berlaku dalam lingkungan usia 10 hingga 15 tahun, menjadikan mekanisme pengesahan umur dan identiti sebagai benteng pencegahan yang kritikal.

"Melalui pengesahan identiti pengguna (e-KYC), semakan dokumen rasmi atau pengesahan melalui penyedia telekomunikasi, platform boleh menutup ruang untuk akaun palsu bawah umur, menghalang pemangsa daripada menyamar, serta memaksa platform memikul tanggungjawab memantau interaksi dalam komuniti mereka," ujarnya.

Tambah Dr Muhamad Fazil, ambang usia 16 tahun juga selaras dengan amalan di beberapa negara maju dan mengimbangi antara hak akses digital remaja dengan keperluan keselamatan yang lebih tegas.

Peranan platform digital memutuskan rantaian penyebaran CSAM

Beliau berkata, gabungan teknologi 'hash-matching' terkini dan AI mampu mengesan kelainan imej serta penapisan sebelum kandungan dimuat naik bagi menghalang bahan haram daripada beredar walau sesaat.

Tambahnya, kelewatan beberapa minit sahaja sudah cukup untuk kandungan berbahaya itu dipindahkan ke puluhan akaun lain.

"Justeru, amalan semakan yang konsisten, pasukan pemantau terlatih dan polisi tanpa kompromi perlu menjadi standard operasi semua platform.

"Pengguna juga berhak menjangkakan bahawa laporan berkaitan CSAM diambil tindakan segera tanpa proses rumit, dengan maklum balas diberikan dalam masa munasabah.

"Masyarakat ialah lapisan keselamatan pertama dan platform wajib menghormati peranan itu dengan respons yang cepat dan bertanggungjawab," katanya.

Kerjasama holistik lindungi kanak-kanak di ruang digital

Dr Muhamad Fazil menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak bukan sekadar usaha teknologi, tetapi kewajipan moral dan sosial yang menuntut kerjasama menyeluruh.

"CSAM ialah jenayah yang meninggalkan kesan seumur hidup kepada mangsa, dan pencegahannya memerlukan pendekatan holistik merangkumi sekatan awal, pengesanan proaktif, pengesahan umur yang kukuh, akauntabiliti platform serta kesedaran masyarakat.

"Langkah kerajaan menetapkan umur minimum 16 tahun adalah permulaan penting, namun keberkesanannya hanya dapat dicapai melalui komitmen bersama semua pihak, penggubal dasar, platform digital, penguat kuasa, institusi pendidikan, ibu bapa dan komuniti," katanya.

Jelas beliau, dalam dunia digital yang semakin terbuka dan kompleks, usaha kolektif inilah yang mampu memastikan kanak-kanak benar-benar dilindungi daripada ancaman yang semakin meruncing.