Baki sebulan nak capai azam 2025

Iklan
Kadang kala kejayaan terbesar ialah keberanian untuk mencuba semula, bukan pencapaian yang sempurna. Foto hiasan/123RF

MEMASUKI bulan terakhir dalam kalendar 2025, ramai antara kita mula menoleh ke belakang dan menilai kembali perjalanan sepanjang tahun.

Azam yang disusun pada penghujung 2024 penuh semangat, harapan dan tekad mungkin ada yang tercapai, ada yang terhenti separuh jalan dan ada juga yang tidak pernah bermula. Namun, hakikatnya masih berbaki sebulan sebelum tahun ini melabuhkan tirai.

Iklan
Iklan

Biarpun tempoh ini kelihatan singkat, ia tetap merupakan ruang cukup bermakna untuk menutup tahun dengan sesuatu yang positif dan membina batu asas yang kukuh untuk tahun berikutnya.

Pertama sekali, sebulan terakhir ini memberi peluang untuk melakukan penilaian jujur terhadap azam yang telah ditetapkan. Ramai orang meletakkan azam yang terlalu besar, terlalu kabur atau tidak berdasarkan perancangan yang realistik.

Iklan

Ada yang berazam mahu kurus, mahu lebih sihat, mahu lebih kaya, mahu memulakan hidup baharu dengan kerja baharu dan banyak lagi.

Maka pada tahap ini, langkah yang bijak ialah mengenal pasti azam mana yang masih boleh ‘diselamatkan’.

Iklan

Azam besar perlu dipecahkan kepada tindakan kecil yang mampu dilaksanakan segera.

Sebagai contoh, jika azam asal adalah untuk membaca 20 buah buku dalam setahun tetapi baru tiga buku selesai dibaca, mungkin lebih praktikal untuk menamatkan satu atau dua buku terakhir sebelum memasuki tahun baharu.

Walaupun ia tidak memenuhi sasaran penuh, sekurang-kurangnya hala tuju tetap bergerak ke hadapan.

Kedua, perlu difahami bahawa bulan Disember biasanya padat dengan komitmen seperti urusan kerja penghujung tahun, perancangan cuti, majlis sosial, persiapan persekolahan anak dan pelbagai tanggungjawab rumah tangga. Justeru, strategi mengurus masa menjadi faktor penentu.

Ketiga, isu motivasi dan psikologi tidak boleh dipandang ringan. Ramai yang terasa putus asa apabila menyedari azam mereka masih jauh dari sasaran. Namun bulan terakhir ini seharusnya dilihat sebagai peluang untuk ‘reset mental’.

Dengan meninjau kembali pencapaian kecil walaupun tidak berkaitan dengan azam asal, seseorang dapat menyuntik semula keyakinan diri.

BERANI UNTUK CUBA SEMULA

Konsep progress over perfection sangat relevan di hujung tahun. Kadang kala kejayaan terbesar ialah keberanian untuk mencuba semula, bukan pencapaian yang sempurna.

Selain itu, sebulan terakhir ini juga merupakan masa terbaik untuk menutup tahun dengan penambahbaikan kecil yang memberi kesan besar pada jangka masa panjang. Bahkan, ini juga waktu sesuai untuk mula membina momentum bagi azam tahun 2026.

Jika seseorang mula membuat perubahan kecil sekarang seperti memperbaiki disiplin jadual tidur, memulakan tabungan kecil atau menghidupkan semula rutin senaman ringan, mereka tidak akan memasuki tahun baharu dalam keadaan ‘kosong’. Sebaliknya, mereka melangkah ke tahun 2026 dengan permulaan yang sudah stabil.

Kesimpulannya, baki sebulan sebelum tahun 2025 berakhir bukan alasan untuk mengalah atau menangguhkan perubahan. Ia adalah ruang untuk membetulkan haluan, merapatkan jurang antara harapan dan tindakan serta menunjukkan bahawa usaha kecil pada saat akhir tetap memiliki nilai yang signifikan.

Azam tidak hanya tentang permulaan pada 1 Januari, ia juga tentang keberanian dan komitmen untuk mencuba.

Dengan minda yang jelas dan langkah yang konsisten, sebulan yang berbaki ini mampu menjadi titik perubahan yang membawa kita menuju tahun 2026 dengan lebih yakin dan teratur.

*Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Sub Editor Sinar Harian