SUMATERA - Suasana pilu menyelubungi operasi menyelamat mangsa banjir di Nauli, Sibolga Utara apabila Aipda Simson Pakpahan, anggota Brigade Bergerak (Brimob) Polis Daerah Sumatera Utara, menemui mayat ibunya sendiri yang tertimbus akibat tanah runtuh pada 1 Disember 2025.
Insiden tragis itu berlaku ketika Aipda Simson dan pasukannya sedang membersihkan kawasan yang terjejas bagi mencari mangsa banjir dan tanah runtuh.
Mangsa, Tiurmalina Boru Sinaga, 70 tahun, ditemui tertimbus di bawah material tanah runtuh.
Mayat wanita itu kemudiannya dievakuasi ke lokasi yang selamat untuk proses pengebumian.
Walaupun berdepan kehilangan peribadi, Aipda Simson terus menunaikan tanggungjawabnya dengan profesionalisme tinggi, membantu dalam proses evakuasi dan memastikan mangsa lain menerima bantuan segera.
Kejadian ini turut memberi kesan mendalam kepada rakan-rakan Brimob yang berada di lokasi operasi.
Ketua operasi daripada Kompi 2 Batalion A, AKP Alamsyah Surbakti berkata, “Dalam setiap bencana, terdapat kesedihan yang perlu ditanggung dan kepastian yang harus diberikan kepada keluarga mangsa.
"Hari ini, kami bertindak bukan sahaja sebagai anggota pasukan keselamatan, malah sebagai insan yang merasai kehilangan bersama.”
Sebanyak 16 anggota Kompi 2 telah dikerahkan ke Nauli untuk membantu operasi pencarian dan menyelamat.
Pasukan berkenaan akan terus memantau kawasan berisiko tinggi bagi memastikan semua mangsa yang terjejas di Sibolga diberi bantuan dan sokongan sewajarnya.
Bencana tanah runtuh dan banjir di Sumatera Utara ini telah mengorbankan ramai nyawa dan menjejaskan ratusan lagi di Aceh, Sumatera Utara, dan Sumatera Barat, dengan Sibolga antara kawasan yang paling teruk terjejas. - Agensi