JSJ Bukit Aman tubuh pasukan khas siasat dakwaan ahli keluarga suspek mati ditembak di Melaka

Iklan
Laporan Sinar Harian baru-baru ini mengenai tiga penjenayah ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lepas, yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga ketiga-tiga suspek berkenaan pada pada Rabu.

Iklan
Iklan

"JSJ Bukit Aman memandang serius perkara ini dan memberi jaminan siasatan secara telus, adil dan profesional akan dijalankan berdasarkan undang-undang sedia ada bagi memastikan keadilan ditegakkan.

"Sehubungan dengan itu, satu pasukan khas ditubuhkan diperingkat JSJ Bukit Aman untuk mengambil alih sepenuhnya siasatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Kumar berkata, pihaknya akan menyiasat laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga ketiga-tiga suspek berkenaan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau manipulasi fakta yang berpotensi mengganggu atau menjejaskan integriti siasatan yang sedang dijalankan.

"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi JSJ Bukit Aman melalui talian hotline 019-376 4763,” katanya.

Iklan

Media pada Rabu melaporkan ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.

Pada 24 November lepas, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan tiga penjenayah berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Kejadian pada jam 4.30 pagi itu menyebabkan anggota polis berpangkat koperal, berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.

Kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dikesan dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian RM1.35 juta. - Bernama