KUALA LUMPUR - Polis menafikan dakwaan wujud salah guna kuasa atau tindakan sengaja melewatkan proses pelepasan tahanan 'Op Songsang' sehingga melebihi tempoh 24 jam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kehadiran jumlah peguam yang ramai dan prosedur dokumentasi sistem yang memakan masa menjadi punca prosiding berlarutan hingga ke malam.
"Proses undang-undang dan dokumentasi selepas serbuan di sebuah premis di Jalan Chow Kit, Jumaat lalu berjalan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Merentasi Cabaran, Memacu Kesejahteraan di Pusat Konvensyen HGH di sini pada Rabu.
Mendedahkan kronologi operasi secara terperinci, Fadil menjelaskan, serbuan bermula pada jam 8 malam dan proses awal di tempat kejadian serta di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) mengambil masa yang panjang sehingga laporan polis rasmi selesai dibuat pada jam 12 tengah hari keesokannya.
"Tempoh yang didakwa sebagai kelewatan itu sebenarnya adalah proses kritikal yang tidak dapat dielakkan.
"Selepas kertas siasatan lengkap pada jam 1 tengah hari, kita perlu memasukkan data permohonan reman ke dalam sistem bermula jam 1.30 tengah hari hingga 3.30 petang," katanya.
Reman
Beliau berkata, permohonan reman kemudian dibawa ke hadapan Majistret pada jam 6 petang.
"Jika dikira daripada tempoh tangkapan awal, kita masih berada dalam tempoh sah 24 jam.
"Bagaimanapun, apabila prosiding bermula jam 6 petang membabitkan jumlah tangkapan yang ramai dan kehadiran 14 peguam, proses itu berterusan sehingga malam barulah selesai," katanya.
Mengulas lanjut, Fadil berkata, orang ramai perlu faham bahawa polis tidak boleh melepaskan tahanan serta-merta sebaik sahaja keputusan reman atau jaminan dibuat.
"Prosedur 'profiling' perlu dijalankan dan kehadiran penjamin diperlukan untuk urusan jaminan, yang turut menyumbang kepada masa tambahan.
"Jadi dakwaan kononnya tahanan ditahan melebihi 24 jam atau polis menyalahgunakan kuasa adalah tidak benar sama sekali," katanya.
Menjawab dakwaan wujudnya layanan 'double standard', beliau menegaskan polis melayan semua tahanan secara sama rata, namun pengelasan kes mungkin berbeza mengikut peranan masing-masing dalam kejadian berkenaan.
Identiti tahanan
Dalam pada itu, beliau turut menyangkal dakwaan kononnya polis sengaja mendedahkan identiti tahanan sehingga menjejaskan kerjaya mereka.
"Siasatan polis adalah sulit dan sebarang maklumat rasmi hanya berkisar fakta kes umum tanpa mendedahkan butiran peribadi secara spesifik.
"Isu menafikan hak individu tidak timbul kerana kami menjalankan tanggungjawab mengikut perlembagaan demi menjaga keselamatan awam," katanya.
Fadil berkata, polis masih dalam proses melengkapkan siasatan dan mengumpul risikan sebelum memutuskan sebarang pertuduhan.