Liputan kurang memuaskan di Perak, 130 notis dikeluarkan kepada telco

Iklan
Mohd Azlan

IPOH - Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) sudah mengeluarkan 130 notis di bawah Subseksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi disebabkan kualiti liputan talian kurang memberangsangkan di Perak.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, pengeluaran notis terbabit akibat kegagalan mematuhi piawaian mandatori kualiti perkhidmatan (MSQoS) yang ditetapkan MCMC.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua notis tersebut melibatkan aduan yang diterima di 335 lokasi di negeri ini.

"Kerajaan negeri sedang melaksanakan pembaharuan dan juga kemajuan pendigitalan di negeri Perak. Oleh itu, kita memerlukan connectivity yang stabil dan bagus.

Iklan

"Selain itu kita perluaskan jajaran connectivity melalui pelan-pelan Jendela melalui MCMC sama ada yang sudah siap dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Azlan berkata, penyedia perkhidmatan yang menerima notis tersebut perlu mengemukakan pelan penambahbaikan interim dan jangka panjang bagi memperbaiki kualiti perkhidmatan di kawasan terjejas.

Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri amat memandang serius perkara tersebut dan berharap penyedia di Perak agar mematuhi MSQoS berkenaan.

"Kita sangat memandang berat isu ini dan kita akan minta MCMC untuk memantau dari semasa ke semasa.

"Saya harap para pemberi perkhidmatan lebih cakna terhadap aduan ataupun sebarang permasalahan yang diadukan kepada pihak mereka mahupun kepada pihak MCMC di semua daerah," katanya.

Jelas Mohd Azlan, pihaknya akan terus bekerjasama dengan MCMC untuk memastikan tahap kualiti liputan telekomunikasi dalam negeri ini memuaskan.