Usul rujuk ADUN Pasir Bedamar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ditolak

Iklan
Razman (duduk, dua dari kanan) bersama pimpinan pembangkang DUN Perak dalam sidang akhbar pada Selasa.

IPOH - Usaha Pembangkang Dewan Negeri Perak untuk merujuk Ahli Dewan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leong ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tidak kesampaian apabila usul berkenaan ditolak.

Usul dibawa Ketua Pembangkang, Razman Zakaria berikutan kenyataan Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Kebangsaan tersebut yang menuduh blok pembangkang Perak bersikap hipokrit dan double standard berhubung isu lawatan ahli politik ke sekolah.

Iklan
Iklan

Razman menegaskan, kenyataan Kah Leong sepertimana dilaporkan dalam Penyata Rasmi, 1 Disember tidak berasas dan mengelirukan Dewan kerana tarikh lawatan yang disebut berlaku pada tahun 2020, iaitu sebelum penguatkuasaan Pekeliling Ikhtisas (SPI) Kementerian Pendidikan pada 2023.

“Kesemua tarikh yang disebut ADUN Pasir Bedamar tiada bukti kukuh agenda kempen politik. Kenyataan beliau menimbulkan persepsi negatif terhadap pembangkang yang selama ini berperanan sebagai semak dan imbang secara konstruktif,” katanya dalam satu sidang akhbar pada Selasa.

Iklan

Beliau turut memetik kenyataan Kah Leong dalam persidangan Dewan bahawa 'Perikatan Nasional tidak berfungsi sebagai pembangkang di Parlimen dan sidang DUN Perak sebagai tuduhan berat dan berniat jahat terhadap 26 Ahli Dewan dari blok pembangkang.

Razman menyatakan, usul yang dibawanya adalah tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 40(1), 40(3)(a), (b), 40(7) dan 40(11)(b) Perintah Tetap Dewan Negeri Perak, namun Speaker memutuskan tiada prima facie atau kes yang munasabah untuk diteruskan.

Iklan

"Kenyataan ADUN Pasir Bedamar ini mempunyai sangkaan jahat dan menimbulkan sakit hati ini, tetapi keputusan Speaker menolak menunjukkan kes tidak boleh dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan," katanya.

ADUN Gunung Semanggol itu menegaskan, pihak pembangkang tetap akan terus berperanan secara aktif dalam semak dan imbang terhadap kerajaan negeri melalui perbahasan dan tindakan Dewan yang konstruktif.

"Sebagai Ketua Pembangkang Perak, saya berhak mempertahankan kesmeua ahli-ahli Dewan di blok pembangkang yang telah berfungsi dengan penuh cemerlang," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, pimpinan Pembangkang Dewan Negeri Perak menuntut penjelasan rasmi kerajaan negeri susulan penularan sebuah video yang memaparkan kehadiran pemimpin parti kerajaan iaitu DAP ke sebuah sekolah di Ayer Tawar, Beruas, Oktober lalu.

Video berdurasi satu minit 24 saat itu mengundang perhatian warganet kerana bercanggah dengan pematuhan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang jelas tidak membenarkan kehadiran ahli politik ke institusi pendidikan.