SUNGAI PETANI - Misi membawa pulang rakyat Malaysia terkandas akibat banjir besar di Hatyai menjadi pengalaman paling mendebarkan kerana terpaksa berdepan ancaman cuaca buruk dan risiko keselamatan sekali gus bergadai nyawa membantu mangsa.
Menceritakan pengalamannya, sukarelawan Malaysia, Mohd Amir Faizal menjelaskan, situasi menakutkan itu bagaimanapun bertukar kelegaan setelah berjaya memindahkan sebahagian besar mangsa terutama bayi dan kanak-kanak serta warga emas ke tempat selamat.
Menurutnya, selain paras air banjir meningkat mendadak sehingga mencecah hampir dua meter menenggelamkan kenderaan dan rumah penduduk, hujan lebat berterusan juga antara cabaran yang terpaksa ditempuh sepanjang berada di Hatyai.
"Bayangkan dengan keadaan hujan tanpa henti, air pula cecah paras dada, cukup menakutkan tetapi bila fikir masih ramai mangsa terkandas, kami kuatkan semangat redah banjir dengan bantuan syarikat logistik milik rakyat Malaysia yang berpusat di Danok.
"Disebabkan kenderaan yang terhad pada peringkat permulaan, kami terpaksa bersesak-sesak dalam lori bertemankan hujan sepanjang perjalanan, situlah makanan, situ juga kami duduk dan bot pun dimasukkan sekali untuk bergerak dari Danok ke Hatyai kerana kereta biasa memang tak boleh lalu dah," katanya.
Mohd Amir yang juga merupakan Sukarelawan Skuad Sungai Petani Response Team itu berkata, lebih menyedihkan apabila kebanyakan mangsa menangis minta dibantu segera sebaik sahaja pasukan sukarelawan tiba di lokasi bencana.
"Ada bayi, kanak-kanak menangis penat, lapar dan kami terpaksa sumbat mereka bersesak-sesak dalam lori untuk dibawa keluar dari kawasan terbabit," jelasnya.
Beliau yang berpengalaman lebih 14 tahun dalam dunia kesukarelawan menjelaskan, niat mahu membantu tidak didorong mana-mana pihak sebaliknya atas dasar kemanusiaan setelah mengetahui terdapat mangsa terputus bekalan susu bayi serta hanya kekal di hotel tanpa makanan dan keperluan lain.
Menceritakan kembali pengalaman hari pertama tiba di pekan Danok, mereka dimaklumkan kebanyakan laluan terputus sehingga lori besar juga sudah mengalami kerosakan akibat terkandas dalam banjir.
Susulan itu, Mohd Amir bergabung tenaga dengan Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani, Leong Beng Tat yang kemudian menggerakkan pasukan ke kawasan bencana menggunakan lori milik syarikat logistik bagi mengeluarkan rakyat Malaysia.
"Kita sebenarnya tidak sangka banjir di Hatyai akan seteruk itu, sampai di sana baru tahu keadaan sebenar namun Alhamdulillah berkat kerjasama pasukan sukarelawan lain yang berada di lokasi, mangsa berjaya dipindahkan...ada satu ketika, paras air cukup tinggi tapi kami redah juga dengan harapan dapat sampai kepada mangsa.
"Setelah beberapa hari melihat kegigihan kami, ada pihak lain turut menghulurkan bantuan... pengorbanan ini bukan sahaja menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia tetapi turut mengurangkan bebanan pasukan penyelamat Thailand di mana perkara ini diakui kerajaan mereka yang berterima kasih pada sukarelawan," ujarnya.
Menjelaskan situasi semasa di Hatyai, Mohd Amir menjangkakan bandar itu memerlukan tempoh masa panjang untuk fasa pemulihan melihat kepada kemusnahan harta benda dan angka korban namun kerja-kerja pembersihan kini sedang giat dijalankan pihak berkuasa tempatan.