KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiga rakan masing-masing dijatuhi hukuman denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana mengganggu seorang pemandu e-panggilan berhubung pinjaman wang tanpa lesen sah sehingga menimbulkan ketakutan, bulan lepas.
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas Cheah Li Ting, 19, Yeoh Zong Cheng, 21, dan Lam Chee Seng, 20, selepas mereka mengaku bersalah serta memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki sebagai pihak yang mewakili pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah telah mengganggu mangsa berusia 42 tahun itu di sebuah restoran di Jalan Cheras, Taman Pertama dekat sini pada 12 tengah hari 17 November lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 29B(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda minimum RM10,000 maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, mangsa didatangi ketiga-tiga tertuduh yang bertanya jika dia ada meminjam wang daripada ah long sebelum mereka bertindak mengejar serta memukulnya di bahagian muka, kepala, badan dan tangan sebelum melarikan diri.
Mangsa turut menerima mesej berbaur ugutan daripada beberapa nombor telefon antaranya berbunyi"ingin bakar rumah dan kereta kamu" dan"jika nampak kamu di mana-mana, akan hentam kamu".
Selepas kejadian itu, mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Putra Heights, Subang Jaya dan ketiga-tiga tertuduh berjaya ditangkap.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulhilmi Latif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran.
Peguam Lam Kim Guan pula memohon hukuman denda ringan atas alasan ketiga-tiga anak guamnya menanggung ibu bapa yang sudah tua. - Bernama