Sorok arak, rokok seludup RM670,571 dalam stor sebelah asrama

Iklan
Antara barangan kontraban bernilai lebih RM670,000 yang dirampas dalam Op Taring Landai di Kulai. Foto : PPM Wilayah Dua

KULAI – Sebuah stor bersebelahan asrama pekerja yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan minuman keras dan rokok seludup terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, di sini, pada Selasa.

Serbuan menerusi Op Taring Landai kira-kira jam 5 petang itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing yang berada di dalam premis berkenaan.

Iklan
Iklan

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, operasi oleh Unit Risik PPM Wilayah Dua, Tampoi itu dijalankan hasil maklumat awam berhubung kegiatan penyimpanan barangan kontraban di daerah ini.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam stor berkenaan menemukan 12,074 tin minuman keras pelbagai jenama, 526 botol wain putih serta 896 karton rokok pelbagai jenis.

Iklan

"Keseluruhan rampasan minuman keras dianggarkan bernilai RM451,947.94, manakala rokok pula bernilai RM218,624.

"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM670,571.94," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Antara barangan kontraban bernilai lebih RM670,000 yang dirampas dalam Op Taring Landai di Kulai. Foto : PPM Wilayah Dua

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap suspek turut mendapati pasport miliknya sudah mempunyai cop keluar dari Malaysia.

Susulan itu, lelaki terbabit ditahan, manakala semua barangan rampasan serta dokumen perjalanan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 39(b) Akta Imigresen 1959/63.

Noor Azman berkata, PPM Wilayah Dua akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai bagi mengelakkan ketirisan hasil negara.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.